text

"Live life, life is mega, even when it hurts...."- Ayim

Saturday 26 June 2010

Pertolongan Allah...itu rahsiaNya.

Seringkali bila kita ditimpa ujian, kita akan meminta pertolongan dan belas kasihan Allah. Mungkin kita sangka ubat yang kita makan akan menyembuhkan, atau pantang larang yang kita amal akan menjauhkan kita dari penyakit. Ini usaha dan ikhtiar kita sebagai manusia. Betul, sebelum kita hanya berserah, kita mesti berusaha sebaik mungkin.

Semenjak Ayim sakit, pelbagai usaha yang kami cuba. Pelbagai penderitaan juga Ayim lalui. Sakitnya bukan sedikit. Kecewa bukan sekali. Kalau tidak kerana percayakan yang semua lelah pasti dibalas kasih sayang Allah, tentu kami mengalah.

Antara yang pernah ditanggung Ayim:

* Pembedahan
* Terlantar sakit selama satu tahun lebih
* Kaki membesar sebelah
* Malam tak boleh tidor.. dua-dua belah kaki sakit rasa seperti nak tercabut
* Luka (ulser) di pangkal paha yang tak baik selama 5 tahun
* Kegagalan kedua-dua buah pinggang 
* Ditebuk atas pinggang kanan untuk memasukkan stent
* Ditebuk leher untuk dialisis
* Di tebuk untuk memasukkan tiub 'nephrostomy'
* Ditebuk di pinggang untuk biopsi
* Membawa beg kencing kemana sahaja selama 3 bulan
* Pengajian degree tertangguh, dan kini master juga tertangguh

Tetapi, ada satu peristiwa yang kami sekeluarga tidak akan boleh lupa sampai bila-bila, iaitu semasa dia terlantar sakit, ulser di pangkal pahanya pernah berulat (maggot).

Kisah bermula selepas Ayim menjalani pembedahan di pangkal pehanya, doktor pakar yang membedahnya itu merujuk kami ke HUKM untuk rawatan selanjutnya. Dia mencadangkan supaya menjalani kemoterapi.

Tetapi setelah ditimbang-tara, ketika itu kami lebih cenderung untuk berubat tradisional. Berubat secara tradisional bukan mudah. Ia lebih kepada menguatkan tubuh badan untuk melawan penyakit, berbeza dengan kaedah kemoterapi yang terus disasarkan kepada kanser (tetapi banyak kesan samping).

Bermacam-macam kaedah tradisional kami cuba....khidmat bomoh barah, homeopathy, refleksology, color vibration terapy, urut tradisional, akar kayu Cina dan rekki. Dengar je ada yang pandai.... kami akan cuba. Niat kami hanya satu.... Ayim sembuh semula.

Selepas 3 bulan, ketumbuhan itu tumbuh semula di tempat yang sama. Ianya tumbuh macam buah anggur ....sebiji demi sebiji.  Tidak sakit. Setelah setahun, apabila ia mula pecah, macam bisul barulah Ayim mula berasa sakit. Mengikut beberapa pengamal perubatan tradisional yang kami temui, mereka berpendapat pisau atau pun besi memang pantang atau pun seperti 'sumpahan' nombor satu penyakit barah. Oleh kerana Ayim sudah menjalani pembedahan, sudah diguris dengan pisau dan jarum suntikan, maka ketumbuhan itu tumbuh berganda. Hanya bomoh barah sahaja yang tahu macam mana nak membuang bisa besi itu. Wallahualam.

Bila ketumbuhan itu pecah satu demi satu, ia menjadi ulser lebar sehingga selebar piring. Bernanah, berdarah dan berbau busuk. Pernah satu ketika darah itu memancut keluar seperti air kencing sehingga habis dinding bilik air. Pernah juga terjadi sehingga hampir setengah jam tidak berhenti. Di masa inilah Ayim terbaring lemah, tidak berupaya hendak bangun. Sudahlah sakit, terpaksa pulak menghidu 24 jam bau hanyir dan busuk di pehanya.

Daripada seorang budak lelaki yang aktif bersukan... bermain rugby dan berkayak, dia terpaksa berbaring di dalam bilik 24 jam selama setahun lebih. Dia terpaksa mengambil cuti sakit dari Universiti. Doktor beri cuti untuk setiap semester. Tiap-tiap kali papanya pergi berjumpa Personal Advisornya untuk menyerahkan sijil cuti sakit, Dr. Latif akan bertanya keadaan Ayim dengan penuh suspen. Ini kerana beberapa pelajar sebelumnya mengambil cuti sakit kerana kanser terus tidak kembali lagi ke kampus. Ia ada dua kemungkinan ... sama ada pergi yang tidak kembali lagi atau pun kesihatan tidak mengizinkan untuk meneruskan pelajaran, terus memilih untuk berhenti.

Selama dia terbaring, kami memang tidak pernah membawa dia ke hospital. Ayim hanya bergantung kepada ubat penahan sakit Tramadol dan Mefenamic Acid untuk menahan sakitnya yang tidak terkata. Ubat-ubat ini dimakan setiap 4 jam.

Setelah setahun lebih terbaring, pada satu ketika, lukanya yang bernanah dan berbau busuk itu menjadi berulat (maggot) .....walaupun kami cuci setiap hari. Kami buntu. Sudahlah luka degil tak sembuh-sembuh, kini jadi sarang ulat pula. Berpuluh-puluh ekor. Kami bersihkan lukanya dan buang ulat-ulat itu setiap hari tetapi semakin hari semakin banyak dan semakin gemuk-gemuk pula. Hinggakan Ayim sukar bergerak kerana ulat2 akan berguguran dan pergerakan juga menyakitkannya. Apabila keadaan terang dan lampu dibuka, ulat2 itu seperti lebih aktif. Ayim terpaksa duduk di dalam gelap. Mana yang dapat kami pungut, kami rendam dalam minyak gas, turpentine dan dalam air panas tetapi ulat-ulat itu tidak mati. Maka ada yang menasihati supaya ulat2 itu jangan dibunuh. Jadi kami pun hanya membuang ulat2 itu ke tanah.




Kira-kira lebih kurang satu minggu Ayim bergelut dengan ulatnya, lukanya yang berdarah dan bernanah itu kering. Dan ulat-ulat itu pun dengan sendirinya pergi (entah ke mana?). Lukanya menjadi bersih dan mula mengecil (tetapi masih berasa sakit). Kami macam tidak percaya. Setahun kami mencuba segala ikhtiar yang kami terdaya, semuanya tidak dapat menyembuhkan luka itu. Memang ada kaedah di hospital menggunakan maggot ini untuk menyembuhkan luka, tetapi kerana kami tidak ada niat nak bawak dia ke hospital, kami tidak terfikir ke arah itu.  Tiba saatnya, Allah hendak menghulurkan bantuan, dalam masa satu minggu, luka yang bernanah dan berdarah boleh baik. Menyesal pulak aku cuba membunuhnya di waktu awal kehadiran ulat-ulat itu.

Apabila papanya pergi berjumpa Dr. Latif untuk menyerahkan sijil sakitnya untuk kali ketiga (Ayim bercuti 3 semester), dia telah memberi sebotol madu (asli) untuk Ayim. Dia sarankan supaya Ayim memakan madu sebagai makanan tambahan.  Apabila habis sebotol madu itu, aku telah pergi mencari pembekal tunggalnya.  Puan itu telah mencadangkan supaya aku menambah dos untuk Ayim supaya lebih berkesan. Dia menyarankan 5 sudu pagi, 5 sudu tengahari dan 5 sudu malam. Apabila habis botol kedua, alhamdulillah... sakit Ayim perlahan-lahan hilang.  Dia mula mempunyai tenaga. Dari terlantar tak bermaya dia mula bangun. Dari makan bersuap di katil, dia mula makan di meja. Mula ceria kembali. Mula ada warna pada wajahnya dan ada sinar pada matanya.

Namun ulser di pangkal pahanya itu tidak pulih sepenuhnya .... kulitnya tidak tumbuh dan daging masih merah. Kalau tergesel kena seluar, akan sakit. Ayim terpaksa menggunakan sejenis plaster (Melolin) untuk menampal daging ini supaya tidak sakit bila tergesel kain atau seluar. Luka ini betul-betul sembuh dan kulit itu kembali normal setelah Ayim terpaksa bertampal selama 5 tahun. Sebab kami teruskan usaha berubat, kami tidak pasti ubat yang mana yang menyembuhkan luka ini. Dan kami terus memberi dia makan madu (walaupun dos itu dikurangkan) dan juga air zam-zam sehingga sebelum dia menjalani kemoterapi.

Kami telah mencuba berbagai jenis kaedah perubatan tradisional. Kami tidak tahu yang mana membuatkan Ayim boleh bertahan sehingga 9 tahun tanpa kemoterapi. Yang jelas......semua bahan-bahan asli di bumi Allah ini ada khasiatnya.... seperti madu asli dan ulat yang juga salah satu makhlukNya. Ini Tuhan telah tunjukkan bukti kapada kami. Kalau Allah hendak menyembuhkan, hanya dengan segelas air dijampi dengan ayat-ayat suci al-Quran pun akan menjadi penawar yang mujarab.

Kesimpulannya, usaha mesti diteruskan tanpa jemu dan berputus asa... sampai masanya, sampai saatnya..... Tuhan tidak akan melupakan kita. dia akan hulurkan bantuanNYA dengan cara yang kita tidak sangka .......insyaallah... YAKINLAH.

Siapa yang melihat Ayim terlantar, tentu tak akan menyangka dia akan bangun semula meneruskan pengajiannya, bekerja sebagai jurutera, dan kemudian melanjutkan pula pengajiannya ke UK.

Seperti ulat dan madu yang menyembuhkan luka dan sakit Ayim, bukan datang dari orang-orang yang mengubati Ayim, bukan juga kami cari tetapi Allah sendiri yang menghantarkan ulat dan menggerakkan hati Dr. Latif (orang yang kami tidak sangka) untuk memberi madu kapada kami.

Kita hanya mampu berdoa dan berharap, pertolongan dan penawar itu akan datang, cuma bentuk dan puncanya hanya Allah yang tahu.

ALLAH DID NOT PROMISE THAT THE WAY WOULD BE EASY 
BUT HE DID PROMISE HE WOULD BE WITH YOU 
IN EVERY STEP OF YOUR LIFE
AS LONG AS YOU WANT HIM TO

Dan kami tidak akan lupa, dengan keikhlasan Dr. Latif  bersedekah sebotol madu asli yg berharga RM60 membuatkan Ayim sembuh semula. Walaupun Dr.Latif tidak membaca blog ini, kami sekeluarga sentiasa mendoakan semoga Dr. Latif sekeluarga dirahmati Allah dunia dan akhirat. (Sekarang Dr. Latif adalah Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Kejuruteraan Awam, UTM).

Sunday 20 June 2010

Kemoterapi ke lima

15hb June, kami bertolak dari Manchester ke Leeds, menuju Hospital St. James. Pukul 2.45, Ayim ada temu-janji dengan doktor pakar, Dr. Johnson. Dan besok, sesi kemoterapinya yang ke lima.



Sebuah poster yang terdapat di lobi. Hotel penginapan kami di bangunan sebelah kiri, tkt 8


Selesai mengambil darah, kami pun dipanggil masuk untuk berbincang. Salah satu topik yang aku amat 'teruja', ialah untuk mendapat kebenaran secepatnya Ayim boleh travel. Aku sedang 'menghitung hari' untuk pulang ke Malaysia. Kemoterapi terakhirnya dijadualkan pada 7hb Julai, insyaallah. Aku sudah berangan, paling lewat 20hb bolehlah kami 'terbang' pulang.

Rupa-rupanya bukan begitu. Dr. Johnson memberitahu, tidak ada saorang doktor pun akan rela melepaskan pesakitnya naik kapalterbang sesudah habis kemoterapi. Paling cepat, katanya setelah 2 bulan! Aku kira-kira.... September .... menyambut raya di UK??? Hmmmm .....Aku pulak yang nak terpengsan! Aku nak balik sorang dulu pun tak boleh. Dia kata Ayim tidak boleh balik sendiri... apa-apa pun boleh berlaku di dalam kapal terbang. Dia mesti berteman.

Aku memberitahu dia yang aku tak boleh tinggal lebih daripada 6 bulan. 31hb Julai adalah hari terakhir aku boleh berpijak di bumi UK. Dia dengan senang hati memberitahu itu tidak ada masalah. Dia akan membuat surat untuk Pejabat Imigresen untuk membolehkan aku tinggal lebih lama atas sebab kesihatan. Hmmm.... aku kehabisan modal untuk berhujah dengannya!

Akhirnya dia bersetuju membenarkan paling cepat minggu pertama bulan Ogos. Itu pun tak pasti jugak.... tengok keadaan Ayim pada masa itu. Masalah lagi satu ialah tiket aku. Setakat ini, sudah 2 kali aku tunda tarikh balik ke Malaysia. Setiap kali tukar tarikh, ada penaltinya.

Besoknya, 16hb, pukul 9.30 pagi, Ayim menjalani sesi kemoterapinya yang ke lima. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.... tiada masalah. Seperti biasa, hanya rasa pening dan nak muntah.


Ubat pertama

Semasa Ayim menjalani kemoterapinya, aku keluar ke bandar. Keluar masuk kedai..... mencuci mata. Bagusnya bandar Leeds ini, semua kedai-kedainya terkumpul di satu tempat. Tidak payah nak mencari sesuatu barang, semuanya berdekatan. Dari kedai macam Globe Silk Store atau pun Kamdar sehinggalah kedai yang berjenama .......sebut je jenama apa, semua ada. Semua yang berjenama ini berada di bawah satu bumbung, di beberapa Arcade. Aku seronok menikmati keindahan senibina bangunan-bangunan di sini. Mereka mengekalkan bangunan lama dan diberi wajah baru yang mempersonakan.

Di dalam arcade inilah biasanya aku duduk berehat, di tepi air pancut, menenangkan fikiran, sambil menjeling-jeling kat handbag Mulberry tu dan mengintai-intai handbag LV yang dalam sangkar emas tu (jeling & intai je!)














Besoknya, kami menaiki bas bertolak balik ke Manchester. Seperti biasa, Ayim akan memegang beberapa helai beg plastik, 'standby' kalau dia termuntah di dalam bas. Tetapi, setakat ini, alhamdulillah, belum lagi terjadi.

Kali ini, aku tidak dapat merakamkan pemandangan-pemandangan sepanjang perjalanan pulang kerana aku tertidor. Bila terjaga, kami sudah sampai di stesen bas di Manchester, dan teksi-teksi yang menceriakan ini sudah sedia menunggu kami.




Monday 14 June 2010

Perkembangan Terkini


Ada dua perkembangan terkini mengenai Ayim.... negatif ada positif pun ada. Aku cerita yang negatif dulu supaya di akhir entri ini, 'aura' positif itu berkekalan.

6hb Jun, pukul 10 malam, Ayim masuk hospital lagi di Hospital St. James, Leeds.

Petang Jumaat, 5hb, dia mula berasa sakit pada 'stent'nya. Sakitnya berterusan, tetapi dia masih boleh bertahan. Besoknya, Sabtu, bila dia bangun tidor, dia masih berasa sakit. Aku tak mau mengambil risiko seperti kes jerawatnya dulu. Setelah mendapat pengesahan dari Hospital St. James, pukul 4 petang kami bertolak dari Manchester ke Leeds.

Kami sampai di hospital bahagian kecemasan pukul 6 petang. Setelah diambil darah dan kencing, doktor mengesahkan ada jangkitan kuman di dalam air kencingnya. Ini di sebabkan sel putihnya rendah jadi senang dijangkiti kuman. Ini adalah kesan sampingan kemoterapi. Oleh kerana sudah menjalani kemo 4 kali, ketahanan badan (body resistance) dia telah lemah. Doktor terus suruh masuk wad untuk rawatan selanjutnya. Hmmmm..... perkembangan negatif!

Persiapan untuk memasukkan antibiotik

Selepas Ayim masuk wad, jam menunjukkan pukul 11 malam. Selesai satu masalah. Sekarang ini masalah aku pulak. Mana aku nak tidor? Nak telefon anak-anak di Leeds, malas pulak mengganggu orang... dah malam. Lagipun, ini malam minggu, entah-entah dia orang semua tak ada di rumah pergi bercuti.

Aku nekad. Tak kisahlah tidor di mana pun. Aku bercadang nak pergi semula ke tempat kecemasan tadi sebab ia beroperasi 24 jam, sentiasa ada orang, tak lah takut. Nasib aku memang baik.... di masa sedang 'gawat' begini, Allah hulurkan bantuan. Kebetulan jururawat yang merawatAyim tadi ternampak aku. Dia ingatkan aku sedang menunggu sesaorang datang menjemput. Bila aku beritau dia yang aku tak tau di mana nak tidor, dia terus membawa aku ke sebuah bilik "day care" yang berdekatan. Dia kata aku boleh tidor di dalam bilik tu.... dia boleh tanya lagi nak selimut ke tidak dan berpesan supaya mengunci pintu dari dalam. Kalau ada orang ketuk jangan bukak. Hmmm..... Aku amat bersyukur.

Di sofa inilah aku tidor di malam itu

Besoknya, aku bersarapan di kafeteria hospital.

2 keping roti bakar & secawan kopi - £2.30 (lebih kurang RM11.70!)

Sementara menunggu waktu melawat pukul 2 ptg, aku telah menaiki bas pergi ke bandar Leeds untuk membeli makanan tengahari untuk Ayim. Sambil berjalan menuju ke restoren Zam Zam, aku sempat JJCM - jalan jalan cuci mata.











Semasa aku di bandar, Ayim sms memberitahu yang dia sudah diberi sebuah bilik. Apabila aku sampai, notis ini terpampang di pintu biliknya.

Oleh kerana dia senang dijangkiti kuman, mereka tidak membenarkan Ayim keluar daripada bilik ini. Nasib baiklah dia tidak ada pelawat. Kalau tidak, masalah jugak.

Setelah 3 bulan Ayim terpaksa membawa beg plastik kencingnya kemana sahaja, dan selepas 4 hari dipantau keberkesannya, akhirnya pada hari Jumaat 11hb, doktor telah mengeluarkan tiub kencingnya (nephrostomy tube) yang terletak di sebelah kanan atas pinggangnya. Ini membuktikan yang tumor itu tidak lagi menghimpit buah pinggangnya. Buah pinggangnya sudah boleh berfungsi semula secara normal. Alhamdullilah, satu perkembangan yang menggembirakan, yang positif.


(nephrostomy tube)

Ayim telah dibenarkan pulang ke rumah pada 12hb setelah di kuarantin di dalam bilik no. 19, wad 65 selama 6 hari. Semasa aku menjemputnya, aku ternampak bunga biru ini sedang berkembangan di laman hospital .......seperti 'kembangnya' hati ku di waktu itu. Syukur Alhamdulillah.




Monday 7 June 2010

Cita-cita belum kesampaian

Semua orang ada sel kanser di dalam tubuh badannya. Tetapi bukan semua orang mendapat kanser. Daripada penyelidikan, STRESS (tekanan emosi) mungkin boleh menyumbang sebagai salah satu punca orang mendapat kanser. Kalau kita pandai menangani STRESS, insyaallah mungkin kita boleh mengelakkan tumor itu daripada bermaharajalela di dalam anggota badan kita.

Kalau tak pandai? Atau pun kita tak sedar yang kita mengalami STRESS yang tahap maksima? Macam mana?

Itulah kisah Ayim.

Daripada umurnya 3 tahun, dia sudah mempunyai cita-cita. Cita-citanya nak menjadi juruterbang. Ini memang cita-cita original....kerana sehingga ke hari ini cita-citanya hendak menjadi juruterbang masih membara.


Tetapi... macam mana pulak boleh menjadi saorang jurutera?

Semasa dia masih di sekolah rendah, Ayim sudah memberitahu kami yang dia tak nak masuk Universiti. Dia tak berminat langsung. Macam dia dah tau je... nak menjadi juruterbang tak memerlukan segulung ijazah.

Semasa keputusan UPSR diumumkan, Ayim telah mendapat keputusan cemerlang dan mendapat tawaran masuk ke sekolah berasrama penuh. Hanya 2 orang sahaja yang berjaya. Kami tidak memohon tetapi telah mendapat tawaran yang tidak disangka-sangka. Kami sebagai orang tuanya, mestilah berasa teramat bangga. Ayim tak mau pergi, dia tak suka duduk di asrama. Tetapi kami pujuk dia..... peluang hanya datang sekali. Beribu orang lain mintak nak masuk, tak dapat. Kita dah dapat, takkan nak tolak.

Dia patuh. 5 tahun dia belajar di sekolah itu. Berjauhan daripada keluarga. Balik hanya sebulan sekali sebab dia malas nak travel. Tetapi setiap 2 minggu sekali kami pergi melawatnya.

Kalau tinggal di asrama dari tingkatan satu, memanglah teruk kena buli oleh abang-abang senior. Tetapi dia tidak pernah mengadu kepada kami. Kalau dia mengadu, mungkin aku tak fikir dua kali untuk membawanya keluar.

Itulah STRESS pertamanya... bermula dari umur dia 13 tahun. Di masa itu kami tidak tau dia stress. Dia pun tak tau dia mengalami stress. Ini hanya aku ketahui semasa dia terbaring sakit, lebih kurang 9 tahun kemudian .... di masa moodnya baik dia bercerita dengan aku sikit demi sikit.

Walaupun STRESS, pelajaran dia tidak pulak terganggu. Keputusan PMR dan SPMnya amat membanggakan. Itu sebab kami tidak sangka dia sedang mengalami STRESS.

Selepas SPM, dia telah dipanggil oleh MAS untuk temuduga jawatan juruterbang. Wah suka bukan main... rasa dunia 'ana' yang empunya. Temuduga itu ada 4 peringkat. Peringkat pertama, Psychometric test. Ujian ini ialah untuk menguji calun yang memohon betul-betul berminat untuk menjadi juruterbang. Bukannya saja suka-suka atau atas paksaan mak bapak.

Ayim lulus dengan cemerlang.

Peringkat kedua 'written test.'

Ayim lulus dengan cemerlang.

Peringkat ketiga.... temuduga dengan panel. Yang hadir temuduga bersama Ayim seramai 20 orang yang telah disenarai pendek. Ada yang berkata ini 'kacang' je. Peringkat pertama dan kedua yang paling susah sebab itu melibatkan IQ. Tak ada siapa boleh tolong. Temuduga yang ini, berinteraksi dengan maanusia ...... boleh ada unsur tolak ansur dan 'belas kasihan'. Peluang untuk berjaya .... cerah.

Keputusannya..... Ayim kantoi! Selepas itu kami mendapat berita 'tak rasmi'. Kekosongan sikit sahaja, jadi persaingan memang sengit. Kalau ada 'kabel' mungkin boleh membantu. Kebetulan ketua panel di masa itu ialah kawan papanya. Tetapi papanya berpendapat pulak, biarlah kita berjaya di atas 'merit' sendiri. Tak payah mintak tolong dengan orang, kita mintak tolong dengan Allah.

Insiden itu betul-betul membuatkan Ayim tertekan. Itu STRESSnya yang kedua.

Kebetulan di waktu yang sama, dia mendapat tawaran masuk ke UTM jurusan kejuruteraan awam selama 5 tahun.

Yang mengisi borang UPU ialah kakaknya, bukan dia.

Yang memilih jurusan pun, kakaknya, bukan dia. Kakaknya memilih pun berdasarkan kursus yang sesuai dengan kelulusannya. Dia memang tak berminat langsung nak isi borang UPU itu. Ada 5 pilihan di dalam borang itu, kejuruteraan awam adalah pilihan terakhir.... itulah yang dapat.

Kami tidak ada pilihan lain. Nak tunggu MAS panggil sekali lagi, tak tau bila.

Bertambahlah lagi stress... STRESS ketiga. Dia terpaksa membuat sesuatu yang dia tak suka langsung selama 5 tahun!

Kansernya bermula semasa dia tahun pertama di UTM.

SURATAN ATAU KEBETULAN?


2 tahun kemudian, bila ketumbuhan itu terus membesar (sebesar bola tenis), barulah pembedahan dilakukan. Daripada sinilah bermulanya episod Ayim 'rebah bangun' melawan kansernya. Dia trauma.

Sehingga kehari ini, walaupun dia sedang membuat Masternya di dalam jurusan kejuruteraan, cita-citanya untuk menjadi juruterbang sesaat pun tidak pernah padam. Dia berazam, apabila dia sudah bekerja, dia akan simpan duit, untuk mengambil lesen juruterbang dengan belanja sendiri sebab had umur sudah melebihi untuk memasuki mana-mana syarikat penerbangan sebagai kadet pilot. Walaupun hanya sebagai hobi.



Dia pernah berkata, apa yang dia inginkan, dia belum dapat lagi. Tetapi, apa yang papa dan mama suruh dia buat, walaupun dia tak suka, dia berjaya melakukannya dengan cemerlang.

Hmmmm.....memang satu statement yang tepat. Tetapi kita tidak tahu apa hikmah di sebalik kejadian ini. Semua ibu bapa maukan yang terbaik untuk anaknya. Tetapi kalau Tuhan datangkan dugaan.... siapakah yang boleh menghalangnya? Mungkin punca rezeki bukan di situ.

WE NEVER GET WHAT WE WANT,
WE NEVER WANT WHAT WE GET,
WE NEVER HAVE WHAT WE LIKE,
WE NEVER LIKE WHAT WE HAVE,
AND STILL WE LIVE AND LOVE ........ THAT'S LIFE






So.. Ayim.... follow your dreams.... BETTER LATE THAN NEVER

Thursday 3 June 2010

Allah Selamatkan Kamu

Allah selamatkan kamu
Allah selamatkan kamu
Allah selamatkan anak kami Ayim
Allah selamatkan kamu
(Awal & akhir, dunia & akhirat)

Itulah doa kami (papa & mama)
sempena hari jadinya yang ke 28 hari ini.

Tidak ada kek hari jadi....tidak ada hadiah
Hanya sebuah DOA....



Kami amat bersyukur

Tuhan makbulkan doa kami

Supaya Ayim tabah
Kuat semangat
Tidak menyalahkan takdir





Kami pasrah

Dugaan ini hanya sementara

Dugaan ini besar hikmahnya

Dugaan ini mengajar kita:




Erti keyakinan
Erti kesabaran
Erti kejujuran
Erti keikhlasan
Erti kasih sayang
Erti persaudaraan
Erti persahabatan




Memang pahit tapi ada manisnya

Memang pedih tapi ada nikmatnya

Memang sakit tapi ada ubatnya






Kerana itu janji Tuhan

Tiap penyakit ada ubatnya

Hanya masanya belum tiba

Kita nangis dan senyum bersama




Sepanjang perjalanan ini

Lembah dan lurah ku lewati

Ketenangan yang ku cari

AKAN ku temui




Selagi hidup belum sudah

Aku akan terus melangkah

Aku YAKIN rahmat buatku

Di hadapan menunggu




Itu lah lirik lagu Menaruh Harapan....

Ya... kami Menaruh Harapan
Dan harapan kami tinggi menggunung......
Ayim.... the birthday boy..... akan sembuh semula