Selamat tinggal 2010.... selamat datang 2011.
Tirai 2010 ditutup dengan pemergian 'rakan seperjuangan' kami, Dr. Mas Afzal (empunya blog Not The Primrose Path). Walaupun kami tidak pernah berjumpa, tetapi anak muda ini amat dekat di hati kami sekeluarga kerana keluarga beliau dengan keluarga kami ibarat berada 'di dalam satu kapal'..... dilambung ombak dan gelombang yang sama.
Aku amat terasa dengan pemergiannya, kerana ada beberapa persamaannya dengan Ayim. Kedua-duanya menghidap penyakit yang sama, umur hampir sebaya dan kedua-duanya gigih berjuang melawan penyakit masing-masing. Semoga rohnya dicucuri Rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.... Amin.
Selain Dr. Mas Afzal, sepanjang tahun 2010, kami juga kehilangan dua lagi orang yang kami sayangi, iaitu, ibu dan adik ipar ku. Adik ipar ku menghidap barah payudara, mempunyai semangat juang yang tinggi, tetapi akhirnya tewas juga.
Tetapi ada juga yang berjaya melepasi ujian ini. Dua minggu lepas, aku telah diperkenalkan dengan seorang ibu, Puan Sofia Yasmin, yang pernah disahkan oleh doktor menghidap Non-Hodgkin's Lymphoma tahap 4 pada tahun 2008. Alhamdulillah, hari ini dia hidup sihat dan telah disahkan bebas dari penyakit ini. Bertemu dengannya, seperti pembakar semangat kepada kami yang masih berjuang...... ada cahaya di hujung sana.... insyaallah.
Peristiwa-peristiwa ini mengingatkan aku kepada pesanan Imam Ghazali:
Yang dekat itu mati,
Yang jauh itu masa,
Yang besar itu nafsu,
Yang berat itu amanah,
Yang indah itu solat.
Aku juga ingin terus mengingati diri ku dengan kata-kata ini:
Untuk meneruskan perjuangan pada tahun 2011 ini, 'keluarga sihat' adalah di antara agenda yang akan aku fokuskan. Selain terus berriadah di S2 City Park, aku juga ingin menjadikan Rumah kami Syurga kami Sekeluarga dengan tamannya yang mendamaikan pemikiran ........... mungkin seperti gambar ini
(Gambar2 di atas kiriman dari seorang sahabat yg amat prihatin tentang kesihatan Ayim. Taman ini di sebuah rumah di Kanada.... TQ Maz)
Aku suka laman di penuhi bunga-bunga berwarna-warni seperti di atas ....... sungguh ceria tetapi itu konsep taman Inggeris. Taman Inggeris ini memerlukan perhatian lebih. Aku ni Melayu Minang...... kalau boleh aku hendak taman yang berkonsepkan ke Melayuan...... di penuhi dengan pokok-pokok yang tahan lasak dan tidak cerewet. Senang dijaga tetapi tetap cantik (ini idea aku je). Aku tidak pernah menjalani sebarang kursus lanskap/berkebun, jadi terpaksalah melalui 'trial and error'.
Tetapi kaum kerabat aku, tak suka taman yang dipenuhi dengan bunga-bunga seperti gambar di atas sebab penuh laman. Kata mereka kalau nak kenduri, tak ada tempat nak pasang khemah. Dalam setahun berapa kali nak kenduri pasang khemah? Hmmm...... tetapi, tanpa aku sedari, aku terpengaruh jugak. Tetapi, bukanlah menyediakan ruang itu untuk pasang khemah bila kenduri, tetapi untuk cucu-cucu ku yang semakin bertambah bilangannya bermain. Akhirnya, aku pun menanam pokok di tepi pagar ........jadilah seperti di bawah ini:
Sebenarnya aku hendak bentuk seperti gambar di bawah, tetapi tak ada skil untuk membuat 'topiari' dan aku pulak sudah tertanam salah pokok!
Huh.... amat jauh berbeza ..... macam langit dengan bumi!!
Tahun 2011, genap 10 tahun Ayim menghidap penyakit ini. Kami sekeluarga sudah terlalu lama menunggu saat Ayim diistiharkan bebas dari penyakitnya seperti Puan Sofia Yasmin. Semoga doa kami dimakbulkan Tuhan tahun ini ..... insyaallah.
Dan jam yang 'bertanduk' ini akan terus berdetik sehingga saat itu tiba .....
Aku doakan juga semoga tahun 2011 lebih baik daripada tahun 2010 untuk semua pengunjung blog ini. Terima kasih juga di atas sokongan dan doa kalian.