text

"Live life, life is mega, even when it hurts...."- Ayim

Saturday 26 June 2010

Pertolongan Allah...itu rahsiaNya.

Seringkali bila kita ditimpa ujian, kita akan meminta pertolongan dan belas kasihan Allah. Mungkin kita sangka ubat yang kita makan akan menyembuhkan, atau pantang larang yang kita amal akan menjauhkan kita dari penyakit. Ini usaha dan ikhtiar kita sebagai manusia. Betul, sebelum kita hanya berserah, kita mesti berusaha sebaik mungkin.

Semenjak Ayim sakit, pelbagai usaha yang kami cuba. Pelbagai penderitaan juga Ayim lalui. Sakitnya bukan sedikit. Kecewa bukan sekali. Kalau tidak kerana percayakan yang semua lelah pasti dibalas kasih sayang Allah, tentu kami mengalah.

Antara yang pernah ditanggung Ayim:

* Pembedahan
* Terlantar sakit selama satu tahun lebih
* Kaki membesar sebelah
* Malam tak boleh tidor.. dua-dua belah kaki sakit rasa seperti nak tercabut
* Luka (ulser) di pangkal paha yang tak baik selama 5 tahun
* Kegagalan kedua-dua buah pinggang 
* Ditebuk atas pinggang kanan untuk memasukkan stent
* Ditebuk leher untuk dialisis
* Di tebuk untuk memasukkan tiub 'nephrostomy'
* Ditebuk di pinggang untuk biopsi
* Membawa beg kencing kemana sahaja selama 3 bulan
* Pengajian degree tertangguh, dan kini master juga tertangguh

Tetapi, ada satu peristiwa yang kami sekeluarga tidak akan boleh lupa sampai bila-bila, iaitu semasa dia terlantar sakit, ulser di pangkal pahanya pernah berulat (maggot).

Kisah bermula selepas Ayim menjalani pembedahan di pangkal pehanya, doktor pakar yang membedahnya itu merujuk kami ke HUKM untuk rawatan selanjutnya. Dia mencadangkan supaya menjalani kemoterapi.

Tetapi setelah ditimbang-tara, ketika itu kami lebih cenderung untuk berubat tradisional. Berubat secara tradisional bukan mudah. Ia lebih kepada menguatkan tubuh badan untuk melawan penyakit, berbeza dengan kaedah kemoterapi yang terus disasarkan kepada kanser (tetapi banyak kesan samping).

Bermacam-macam kaedah tradisional kami cuba....khidmat bomoh barah, homeopathy, refleksology, color vibration terapy, urut tradisional, akar kayu Cina dan rekki. Dengar je ada yang pandai.... kami akan cuba. Niat kami hanya satu.... Ayim sembuh semula.

Selepas 3 bulan, ketumbuhan itu tumbuh semula di tempat yang sama. Ianya tumbuh macam buah anggur ....sebiji demi sebiji.  Tidak sakit. Setelah setahun, apabila ia mula pecah, macam bisul barulah Ayim mula berasa sakit. Mengikut beberapa pengamal perubatan tradisional yang kami temui, mereka berpendapat pisau atau pun besi memang pantang atau pun seperti 'sumpahan' nombor satu penyakit barah. Oleh kerana Ayim sudah menjalani pembedahan, sudah diguris dengan pisau dan jarum suntikan, maka ketumbuhan itu tumbuh berganda. Hanya bomoh barah sahaja yang tahu macam mana nak membuang bisa besi itu. Wallahualam.

Bila ketumbuhan itu pecah satu demi satu, ia menjadi ulser lebar sehingga selebar piring. Bernanah, berdarah dan berbau busuk. Pernah satu ketika darah itu memancut keluar seperti air kencing sehingga habis dinding bilik air. Pernah juga terjadi sehingga hampir setengah jam tidak berhenti. Di masa inilah Ayim terbaring lemah, tidak berupaya hendak bangun. Sudahlah sakit, terpaksa pulak menghidu 24 jam bau hanyir dan busuk di pehanya.

Daripada seorang budak lelaki yang aktif bersukan... bermain rugby dan berkayak, dia terpaksa berbaring di dalam bilik 24 jam selama setahun lebih. Dia terpaksa mengambil cuti sakit dari Universiti. Doktor beri cuti untuk setiap semester. Tiap-tiap kali papanya pergi berjumpa Personal Advisornya untuk menyerahkan sijil cuti sakit, Dr. Latif akan bertanya keadaan Ayim dengan penuh suspen. Ini kerana beberapa pelajar sebelumnya mengambil cuti sakit kerana kanser terus tidak kembali lagi ke kampus. Ia ada dua kemungkinan ... sama ada pergi yang tidak kembali lagi atau pun kesihatan tidak mengizinkan untuk meneruskan pelajaran, terus memilih untuk berhenti.

Selama dia terbaring, kami memang tidak pernah membawa dia ke hospital. Ayim hanya bergantung kepada ubat penahan sakit Tramadol dan Mefenamic Acid untuk menahan sakitnya yang tidak terkata. Ubat-ubat ini dimakan setiap 4 jam.

Setelah setahun lebih terbaring, pada satu ketika, lukanya yang bernanah dan berbau busuk itu menjadi berulat (maggot) .....walaupun kami cuci setiap hari. Kami buntu. Sudahlah luka degil tak sembuh-sembuh, kini jadi sarang ulat pula. Berpuluh-puluh ekor. Kami bersihkan lukanya dan buang ulat-ulat itu setiap hari tetapi semakin hari semakin banyak dan semakin gemuk-gemuk pula. Hinggakan Ayim sukar bergerak kerana ulat2 akan berguguran dan pergerakan juga menyakitkannya. Apabila keadaan terang dan lampu dibuka, ulat2 itu seperti lebih aktif. Ayim terpaksa duduk di dalam gelap. Mana yang dapat kami pungut, kami rendam dalam minyak gas, turpentine dan dalam air panas tetapi ulat-ulat itu tidak mati. Maka ada yang menasihati supaya ulat2 itu jangan dibunuh. Jadi kami pun hanya membuang ulat2 itu ke tanah.




Kira-kira lebih kurang satu minggu Ayim bergelut dengan ulatnya, lukanya yang berdarah dan bernanah itu kering. Dan ulat-ulat itu pun dengan sendirinya pergi (entah ke mana?). Lukanya menjadi bersih dan mula mengecil (tetapi masih berasa sakit). Kami macam tidak percaya. Setahun kami mencuba segala ikhtiar yang kami terdaya, semuanya tidak dapat menyembuhkan luka itu. Memang ada kaedah di hospital menggunakan maggot ini untuk menyembuhkan luka, tetapi kerana kami tidak ada niat nak bawak dia ke hospital, kami tidak terfikir ke arah itu.  Tiba saatnya, Allah hendak menghulurkan bantuan, dalam masa satu minggu, luka yang bernanah dan berdarah boleh baik. Menyesal pulak aku cuba membunuhnya di waktu awal kehadiran ulat-ulat itu.

Apabila papanya pergi berjumpa Dr. Latif untuk menyerahkan sijil sakitnya untuk kali ketiga (Ayim bercuti 3 semester), dia telah memberi sebotol madu (asli) untuk Ayim. Dia sarankan supaya Ayim memakan madu sebagai makanan tambahan.  Apabila habis sebotol madu itu, aku telah pergi mencari pembekal tunggalnya.  Puan itu telah mencadangkan supaya aku menambah dos untuk Ayim supaya lebih berkesan. Dia menyarankan 5 sudu pagi, 5 sudu tengahari dan 5 sudu malam. Apabila habis botol kedua, alhamdulillah... sakit Ayim perlahan-lahan hilang.  Dia mula mempunyai tenaga. Dari terlantar tak bermaya dia mula bangun. Dari makan bersuap di katil, dia mula makan di meja. Mula ceria kembali. Mula ada warna pada wajahnya dan ada sinar pada matanya.

Namun ulser di pangkal pahanya itu tidak pulih sepenuhnya .... kulitnya tidak tumbuh dan daging masih merah. Kalau tergesel kena seluar, akan sakit. Ayim terpaksa menggunakan sejenis plaster (Melolin) untuk menampal daging ini supaya tidak sakit bila tergesel kain atau seluar. Luka ini betul-betul sembuh dan kulit itu kembali normal setelah Ayim terpaksa bertampal selama 5 tahun. Sebab kami teruskan usaha berubat, kami tidak pasti ubat yang mana yang menyembuhkan luka ini. Dan kami terus memberi dia makan madu (walaupun dos itu dikurangkan) dan juga air zam-zam sehingga sebelum dia menjalani kemoterapi.

Kami telah mencuba berbagai jenis kaedah perubatan tradisional. Kami tidak tahu yang mana membuatkan Ayim boleh bertahan sehingga 9 tahun tanpa kemoterapi. Yang jelas......semua bahan-bahan asli di bumi Allah ini ada khasiatnya.... seperti madu asli dan ulat yang juga salah satu makhlukNya. Ini Tuhan telah tunjukkan bukti kapada kami. Kalau Allah hendak menyembuhkan, hanya dengan segelas air dijampi dengan ayat-ayat suci al-Quran pun akan menjadi penawar yang mujarab.

Kesimpulannya, usaha mesti diteruskan tanpa jemu dan berputus asa... sampai masanya, sampai saatnya..... Tuhan tidak akan melupakan kita. dia akan hulurkan bantuanNYA dengan cara yang kita tidak sangka .......insyaallah... YAKINLAH.

Siapa yang melihat Ayim terlantar, tentu tak akan menyangka dia akan bangun semula meneruskan pengajiannya, bekerja sebagai jurutera, dan kemudian melanjutkan pula pengajiannya ke UK.

Seperti ulat dan madu yang menyembuhkan luka dan sakit Ayim, bukan datang dari orang-orang yang mengubati Ayim, bukan juga kami cari tetapi Allah sendiri yang menghantarkan ulat dan menggerakkan hati Dr. Latif (orang yang kami tidak sangka) untuk memberi madu kapada kami.

Kita hanya mampu berdoa dan berharap, pertolongan dan penawar itu akan datang, cuma bentuk dan puncanya hanya Allah yang tahu.

ALLAH DID NOT PROMISE THAT THE WAY WOULD BE EASY 
BUT HE DID PROMISE HE WOULD BE WITH YOU 
IN EVERY STEP OF YOUR LIFE
AS LONG AS YOU WANT HIM TO

Dan kami tidak akan lupa, dengan keikhlasan Dr. Latif  bersedekah sebotol madu asli yg berharga RM60 membuatkan Ayim sembuh semula. Walaupun Dr.Latif tidak membaca blog ini, kami sekeluarga sentiasa mendoakan semoga Dr. Latif sekeluarga dirahmati Allah dunia dan akhirat. (Sekarang Dr. Latif adalah Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Kejuruteraan Awam, UTM).

13 comments:

Ibu n Abah said...

Salam kak zah..
Alhamdulillah.. dengan entry kak zah yang ini membuatkan saya lebih-lebih insaf dan lebih berharap pada pertolongan ALLAH...
Sebab itulah kita sentiasa dinasihatkan sebut 'InnaLillah'..(bila ditimpa kesusahan)kerana segala-galanya kepunyaan ALLAH jua..
Semuga Kak Zah dan Ayim akan terus tabah dan mengingati ALLAH memang tidak pernah lupa dan semuga dengan segala penderitaan kesakitan Ayim itu membuatkan tinggi lagi darjat Ayim disisiNYA.

CS said...

"amin" ...

I masih ingat sesi kita bertemu dimana you menceritakan hal Karim, maggot dll. Semestinya ketika tu dan juga selepas baca coretan you kali nih, I masih lagi terpempan dan masih lagi speechless. YaRabbi..

Semangat dan kesabaran you sekeluarga membuka mata dan hati ini. Semoga dipermudahkan segala usaha dan semoga Karim diberi kesihatan yang lebih baik dari sebelumnya. Amin.

Salam dari dekat tapi jauh...

Mama said...

Salam DM & CS
Terima kasih kerana dinda berdua tidak putus2 dan sentiasa mendoakan kami

Memang ini Rahmat Allah kpd keluarga kami yg tidak ternilai

KZ menulis entri ini juga utk memberi semangat kpd sesiapa yg sdg menghadapi situasi yg 'payah' dan kritikal....ini cerita benar.. Tuhan hulurkan bantuan di saat2 kita amat memerlukannya

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

Salam K.Zah dan Ayim,
Kesibukan saya pd minggu bermula persekolahan membuatkan saya terlewat membaca n3 akak kali ni.

Subhanallah..benar2 akak sekeluarga antara insan terpilih menerima ujian Allah yg berat ini. Amat berat bg saya dan tidak taulah sekuat mana kesabaran dan keimanan saya jika berada di tempat akak.

Masyallah..Ayim, kuat sekali ujian utkmu. Tidak terbayang kesakitan dan keperitan yg dikau tanggung. Mengalir air mata saya kerana simpati. Malu saya kpd Allah krn berani mengeluh sewaktu diuji dgn sakit dan musibah.

Allahuakbar, k.zah Allah tidak dtgkan ujian sekeras ini utk sebarang org. Siksa hati dan perasaan melihat anakanda tersayang menanggung kesakitan berseorangan. Hati seorg ibu..klu boleh biar dirinya menjadi galang gantinya.

Mungkinkah saya setabah k.zah. Kekuatan semangat akak menginsafkan saya. Hanya mereka yg telah melalui pengalaman seberat ini akan tahu betapa Maha Berkuasa Allah akan setiap sesuatu. Tidak cukup setakat dilafaz dibibir selagi diri sendiri tidak diuji.

Terus tabah K.zah dan Ayim. Teruslah bersangka baik dgn Allah. Ubat dan rawatan itu dtgnya dri Tuhan juga dan tidak semestinya sembuh kecuali Tuhan kehendaki. Bahkan terdpt dua org dgn penyakit yg sama tapi tidak sembuh dgn ubat atau rawatan yg sama. Ada yg langsung tidak sembuh dgn menggunakan bermacam2 ubat. Manakala ada pula yg sembuh tanpa ubat dan rawatan. Begitulah Maha Kuasa Tuhan terhadap sesuatu.

Doa saya dan keluarga mudah2an Ayim sembuh segera, insyallah.

Mama said...

Salam Yati....t.kasih kerana doa dan kata2 semangat yg sudah tentu membantu kami dlm perjalanan yg penuh liku ini.

KZ selalu berfikir.... kalau aku susah ada org yg lagi susah.. itulah yg membuatkan KZ bertahan selain sentiasa memohon limpah kurniaNya supaya kami sekeluarga jgn terkeluar dpd gulungan orang2 yg beriman

OmarMaznah7 said...

Salam Paezah, jarak antara satu darjat kedarjat yang lain adalah 500 tahun perjalanan Ujian yang Ayim dan you sekeluarga lalui adalah tanda sayang Allah pada kamu semua dan meningkat darjat disisi Allah. Jangan putus dengan doa dan zikrullah as I am/will for Ayim and u, insyaAllah.

Mama said...

Salam Maz...t.kasih kerana mengingatkan jarak antara satu darjat kedarjat yg lain.... ia membantu memberi kekuatan dalaman.. dan t.kasih jugakerana terus mendoakan kami sekeluarga. Allah jua yg akan membalasnya

Kakcik Seroja said...

Salam..

kakcik sering singgah di sini untuk membaca kisah Karim. Pertama kali kakcik tinggalkan jejak setelah hati merasa sebak. Alangkah AGUNGnya DIA...

Mama said...

Salam perkenalan Kakcik
Terima kasih sudi singgah...singgah2 lah selalu... jenguk2 kami yg sdg menempuh dugaanNYA...moga kami terus tabah

Wal Malik said...

saya kagum dgn ketabahan aunty dan ayim. semakin dekat kita dengan Allah makin kuat ujian Nya..

Mama said...

Salam perkenalan Wal...T.kasih sudi singgah....semoga cerita Ayim ini dpt memberi semangat kpd anak2 yg sebaya dgnnya supaya jgn berputus asa.... Tuhan sentiasa bersama kita jika kita tak lupa padanya

Wal Malik said...

Salam mama,sebenarnya saya search for diet anti kanser, then jumpa dgn blog mama ni.terus jadi peminat setia.hahaha.it motivates me a lot.send my regards to ayim ya.

Mama said...

Salam Wal...
Sori... lambat jwb... tak perasan

2 buah buku diet anti cancer tu mmg bagus kalau rajin baca.. tp berat sikit nak faham medical term tu... tp boleh membantu