text

"Live life, life is mega, even when it hurts...."- Ayim

Wednesday 24 March 2010

Selamat tinggal Leodis..


22hb Mac 2010 - Aku mengemaskan bilik asrama Ayim di Leodis Residences dan menyerahkan kunci ke pejabat Admin. Tak sangka semenjak kami menjejakkan kaki di Leeds kami telah tinggal di bilik 5.22 sementara berulang alik ke hospital.

Bukan tidak ada yang mempelawa kami tinggal bersama mereka tetapi kami lebih selesa tinggal di bilik Ayim. Di tika saat umur sudah melebihi setengah abad, barulah aku faham sebenar2nya maksud "kalau kita menolong orang, ALLAH akan menolong kita". Bila kita dah membantu seseorang, janganlah mengharapkan balasan daripada orang yang kita bantu itu kerana dia mungkin dapat membantu dan mungkin juga tidak. Tetapi bila sampai masa kita terdesak, Allah akan mendatangkan pertolongan itu tak kisah dari siapa. Sekarang kami mengalaminya. Kami tidak pernah kenal dengan pelajar2 Malaysia di Leeds ini. Bila mereka tahu yang Ayim sakit dan kami berada di Leeds, mereka semua dengan rela hati menghulurkan bantuan. Ada yang mempelawa tinggal di rumah mereka, ada yang menghantar/menjemput kami ke hospital, hantarkan makanan dan juga sumbangan kewangan. Kami amat terharu. "Terima kasih anak2 semua. Pakcik & Makcik berdoa hanya Tuhan yang akan membalas budi baik anak2 semua. Kami pasti takkan dapat membalasnya. Semoga anak2 semua berjaya di dunia dan akhirat."

Alhamdulillah...Ayim boleh menerima hakikat yang pelajaran dia terpaksa ditangguhkan demi kesihatan. Pada 20/3, Ayim dimasukkan drip semula sebab takut dia dehydrated.Dr kata kencingnya banyak - 6 litre tapi dia minum air 2 litre saje. Dia mintak dibelikan air Ribena kerana dia dah tak lalu nak minum air putih. Tekaknya nak air yang manis-manis saje. Hari ini dia makan bihun hailam yang dimasak kakaknya dengan berselera sekali. Dan, creatininenya sudah turun 180.

Besoknya, bila aku melawatnya, dengan gembiranya dia memberitahu yang Dr sudah berhentikan steroid dan ubat anti sickness. Dia pun tak ada rasa pening2 dan loya lagi. Hanya dia tidak berapa lalu nak minum air putih. Cretanine nya sudah turun lagi 150. Alhamdulillah. Dan hari ini aku bawakkan dia capati dan kari ayam yang dibeli di Zam Zam Restaurant.



Kalau semuanya berjalan seperti yang diharapkan, dua hari lagi mungkin dia dibenarkan pulang kerumah. Kami akan tinggal di Manchester di rumah kakaknya sementara menunggu sesi kedua kira2 dua minggu lagi.

Bandar Leeds yang kelihatan dari bilik hostel Ayim. Selamat tinggal Leodis!

Thursday 18 March 2010

Hari Pertama


Semalam Ayim telah selesai menjalani kemoterapi sesi pertama. Ada 5 sesi lagi. Setiap sesi berselang 3 minggu. Ubat yang diberi ialah CHOP-R, singkatan untuk cyclophosphamide, hydroxydaunorubicin, oncovin, prednisolone dan rituximab. Tetapi rituximab belum lagi diberi semalam kerana menunggu buah pinggang Ayim pulih.

Ayim dalam bilik hospitalnya...


nurse memasukkan ubat chemo...



Selesai kemoterapi, Ayim demam. Doktor memberi Ayim aspirin kerana Ayim alergik panadol. Rupa2nya Ayim pun alergik aspirin! Mata bengkak semalam.


Apabila aku datang keesokannya (18/3), dia jugak di beri neubulizer. Ubat2 chemo itu membuatkan dia susah nak bernafas. Athmanya datang semula. Matanya masih bengkak. Dia mula rasa nak muntah dan tak ada selera makan. Dia complain lapar. Nasi dan lauk yang ku bawa tidak dijamahnya. Makanan hospital pun dia tak usik. Dia hanya minum teh susu dan 3 croissant.

Ubat2 tu jugak membuatkan dia mengantuk.

Alhamudillah, Doktor mengatakan setakat hari ini semuanya berjalan seperti yang diharapkan. Ayim memberitahu ku supaya besok pagi pergi uruskan berkenaan bilik asramanya kerana pihak Universiti sudah menukar status nya kepada "TEMPORARILY ON LEAVE UNTIL JANUARY 2011".

Pelajarannya tertangguh setahun lagi...........

Allah lebih mengetahui..

Sejak umur 19 tahun lagi Ayim telah sepenuh tenaga melawan kansernya. Ketika itu rakan sebaya sibuk belajar. Ayim nak berjalan pun payah, makan pun hanya di atas katil.

Pada tahun 2001, dia disahkan di Malaysia menghidap non-hodgkin's lymphoma. Selepas membuat pembedahan pada tahun 2002, kami tidak meneruskan berubat di hospital. Kami memilih untuk berubat secara kaedah tradisional. Ayim sendiri membuat keputusan tak mau menjalani kemoterapi. Terlalu banyak cerita menakutkan tentang hospital dan kemoterapi yang didengarnya. Dan kami ibu bapa serta adik beradiknya memberi sokongan dengan keputusannya itu.Yang penting usaha, yang menyembuhkan hanya Allah swt sahaja.

Alhamdulilah setelah sakit terlantar selama lebih kurang satu tahun setengah, dia bangun semula menyambung pelajaran yang tergendala. Semasa dia di sahkan mengidap penyakit ini, dia sedang berada dalam tahun 4 di UTM dalam bidang kejuruteraan sivil. Selepas graduate, dia mendapat kerja sesuai dengan kelulusannya. Secara tradisional nya, pada tahun 2005, dia sudah bebas dari kanser.

Dari segi fizikal, dia memang nampak sihat kecuali kaki kanannya membesar 3 kali ganda daripada saiz normal. Ia dipanggil lymphoedema. Tumornya memang bermula di pangkal paha kanannya. Dalam diam rupanya ada lagi sisa kansernya dalam abdomen.

Ayim, Papa dan Mama pada hari Ayim berangkat ke Leeds..(sept 2009)


Dia datang ke sini ialah untuk membuat Masters dan baru saja berada di sini selama 4 bulan. Pengajiannya dijangka selesai 8 bulan lagi. Keadaanya sekarang tidak mengizinkan untuk kami membawa dia pulang ke Malaysia. 14 jam dalam kapalterbang, dia tak akan mampu bertahan. Mau tak mau, suka tak suka dia kena teruskan berubat di sini. Perubatan disini sudah tentulah dengan menjalani kemoterapi yang dia cuba elakkan selama 8 tahun!

Memang ini satu keputusan yang payah bagi kami. Ia melibatkan nyawa dan masa depan. Selama ini kami amat yakin dengan perubatan tradisional. Kami cukup takut apabila mendengar cerita kesan sampingan selepas menjalani kemoterapi. Ayim sendiri pernah terbaca saorang doktor dari US menulis yang pesakit kanser mati bukan kerana penyakit itu tetapi kerana kesan sampingan selepas menjalani kemoterapi! Itu yang dia cuba elakkan. Dia sanggup berubat secara tradisional.

Permulaan perjalanan Ayim...tujuan hanya untuk belajar, siapa sangka rancangan Allah yang berbeza...



Sekarang .... di bumi UK.... apa pilihan yang kami ada? Nak balik ke Malaysia tak boleh. Tiga malam kami berbincang.... yang positif dan yang negatif. Aku terfikir.... mungkinkah ubat Ayim di sini? bukan di Malaysia? Memang tujuan utama datang kesini untuk belajar. Tetapi.... kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Bertahun2 aku berdoa supaya Tuhan sembuhkan penyakitnya....minta Tuhan beri petunjuk apa ubatnya. Adakah akhirnya kemoterapi jugak jawapannya?

Perjalanan yang memilukan

Memang kita hanya merancang, tetapi Allah yang menentukan. Ayim berhijrah ke UK untuk pengajian masternya, tapi rupanya ada agenda Allah yang tersirat....

Sudah 1 bulan lebih aku di Leeds, U.K. Aku datang ke sini dengan keadaan tergesa2 bersama suami. Kami suami isteri memang suka bercuti. Jalan2 dan melancong. Tak kiralah dalam negeri atau pun luar negeri. Pantang ada peluang kami tak akan melepaskannya. Tapi, perjalanan kali ini amat memilukan.

3hb Feb. 2010 - Dapat panggilan daripada anak perempuan kami yang duduk di Manchester memberitahu adiknya, Ayim telah tiba2 pengsan dan sekarang sedang berada di Hospital St. James, Leeds. Keadaannya kritikal. Kedua2 buah pinggangnya tidak berfungsi lagi dan sekarang sedang buat dialisis. Ya Allah.... anak ku. Dia baru berusia 27 tahun.... kahwin pun belum. Salah satu vital organ sudah tidak berfungsi!!! Ibu mana yang boleh bertahan apabila mendapat berita ini.......dia jauh beribu2 batu. Apa yang mampu aku lakukan selain daripada berdoa semoga dia di lindungi Allah dan selamat.

7hb Feb. pukul 8.30 pagi kami sampai di Manchester. Sepanjang 14 jam dalam kapal terbang jantung berdebar2. Doa tak putus2. Tak tau apa berita yang menyambut ketibaan kami. Macam2 gambaran datang silih berganti... yang baik dan yang tak baik. Baru 2 minggu lepas aku menguruskan jenazah ibu ku........ini anak ku pula..... Airmata ku berjurai2 tak dapat di tahan2.
Tetapi.....alhamdulillah....... lega sikit dada bila menantu yang menunggu kami di airport memberitahu semuanya masih terkawal.

Pukul 2 ptg waktu melawat. Kami bersyukur beribu kali syukur melihat Ayim boleh tersenyum bila melihat kami sampai.

Ayim semasa sedang dialisis...


21 hari dia terpaksa tinggal di hospital. Dia pengsan kerana level creatinine nya naik sehingga 1800! Badan nya penuh toxic kerana kedua2 buah pinggangnya tidak berfungsi lagi. Bagi orang normal, biasanya level creatinine hanya sekitar 30. Sekiranya terlambat dia mendapat pertolongan, kemungkinan dia akan koma tak tau bila akan bangun!! Kira sebulan sebelum dia pengsan, dia ada mengadu yang dia tak ada selera makan. Kami ingatkan kerana peperiksaannya yang telah hampir. 2 minggu sebelum itu dia mula muntah2. GP sangkakan itu hanya lah winter bug. Tak sangka yang punca sebenar adalah kegagalan buah pinggang.

Selama 21 hari, macam2 ujian dan usaha telah dijalankan oleh pihak hospital..... salah satunya ialah memasukan 'stent' kedalam ureternya. Tanpa stent ini dia tak boleh buang air kecil secara normal. Sementara menunggu keputusan CT Scan, 25hb Feb, dia dibenarkan keluar dari hospital. Yang menggembirakannya, dia dapat pergi lecture semula.

Ayim pada hari keluar wad...


Tetapi, kegembiraannya hanya lah untuk 2 minggu. Dia mula rasa nak muntah dan pening semula. Bila diperiksa, doktor memberitahu stent yang dimasukkan sebulan lepas sudah tak boleh bertahan lagi. Sepatutnya stent ini untuk tempoh 6 bulan. Keputusan CT scan pula mengesahkan kebimbangan yang memang bersarang dijiwa. Ada tumor di dalam abdomennya berdekatan buah pinggang dan pundi kencingnya. Tumor itu yang telah menghimpit kedua-dua ureternya hingga menyebabkan kegagalan buah pinggang

Rupa-rupanya penyakit lamanya datang kembali....ia mimpi ngeri keluarga kami. Kesihatan Ayim datang dan pergi. Hingga Ayim pernah mengatakan yang dia tak tahu macam mana rasa sihat itu kerana sudah selalu sakit.

Perjalanan ini masih jauh...

Wednesday 17 March 2010

Episod Baru


Hari ini episod baru bermula.

Setelah 8 tahun Ayim hanya berubat secara tradisional, akhirnya, hari ini, 17hb Mac 2010, kami pasrah. Pukul 2.30pm, Ayim menandatangani borang persetujuan untuk menjalani kemoterapi dan pukul 3.30pm sesi pertama bermula.

Ayim..be strong!