text

"Live life, life is mega, even when it hurts...."- Ayim

Wednesday 24 November 2010

Esok masih ada

Sehari selepas PET Scan, Ayim telah demam teruk dan terbaring selama satu minggu.  Demam panas..... dan seluruh badannya sakit-sakit. Pening.... rasa nak muntah, hidung berdarah dan perutnya terasa senak. Dia kata itulah di antara tanda-tanda sebelum dia pengsan semasa di Leeds dulu. Apa yang kami risaukan ialah kalau-kalau tumor itu tumbuh semula. Kami telah membawa dia ke klinik. Keputusan ujian darah.... semuanya OK. Doktor itu berpendapat demam itu adalah di sebabkan tindakbalas selepas menjalani PET Scan ..... bila ada bendasing yang sudah masuk ke dalam badan, kadangkala kita mengalami alahan.  Moga-moga begitu..... dan kami amat teruja menunggu keputusan PET Scan itu.






Akhirnya hari yang ditunggu-tunggu tiba.... 22hb November pukul 9.00 pagi temujanji berjumpa dengan Haemotologist di Hospital Ampang. Setelah diambil darah, akhirnya pukul 12.30 baru Ayim dipanggil masuk. Kali ini doktor lain pula.... bukan doktor yang dulu. Keputusan ujian darah semuanya bagus.... tetapi yang tak bagusnya keputusan PET Scan masih tidak siap lagi!

Menurut doktor ini, sepatutnya CT Scan dan PET Scan diambil sekali.... bukannya PET Scan sahaja. Sudah terlanjur keputusan PET Scan masih belum siap, dia menyarankan supaya membuat CT Scan jugak. Temujanji akan datang di jadualkan dua bulan daripada sekarang.


Ayim sedang berbincang dengan jururawat bertugas



Semasa perbincangan, doktor ini menasihatkan supaya jangan sesekali menggunakan kaedah alternatif lagi. Jangan berurut, jangan pergi jumpa tabib cina atau pun makan jamu atau pun apa-apa sajalah selain perubatan hospital. Semasa dia bercakap ini..... dia memandang tepat ke muka aku! Aku boleh mengagak apa yang sedang difikirkannya.... mestilah dia menjangkakan akulah 'the mastermind' di masa dulu tidak mahu membawa Ayim berubat di hospital!

Temujanji akan datang dua bulan lagi. Kalau keputusan PET Scan itu siap mengikut jadual, sepatutnya temujanji yang ini ialah perbincangan mengenai tindakan seterusnya.  Sekarang kami terpaksa menunggu dua bulan lagi baru tahu apa tindakan selanjutnya. Selama dua bulan ini, takkanlah kami nak duduk diam sahaja tidak buat apa-apa? Kalau dua bulan lagi baru doktor nak jumpa semula.... tentulah kami terpaksa ikhtiar secara lain.... sudah tentulah perubatan alternatif.





Kehidupan mesti diteruskan........


Kalau tidak ada yang lama takkan ada yang baru. Kalau tidak ada perubatan tradisional, tidak akan ada perubatan moden. Di hospital, hanya menggunakan kaedah kemoterapi atau pun radioterapi. Tidak ada pilihan lain.... dan itulah yang kami nak elakkan sebenarnya. Kalau boleh, kami tidak mau Ayim melalui kemoterapi lagi. Cukuplah hanya sekali! Kalau Ayim terpaksa menjalani kemoterapi sekali lagi, ubat yang akan digunakan mestilah yang lebih kuat daripada yang dulu, kerana ubat yang dulu sudah menjadi tidak efektif lagi.

Aku ada terbaca artikel mengenai khasiat buah durian belanda yang lebih baik daripada kemoterapi untuk mengubati penyakit kanser. Kami ingin mencuba memberi Ayim buah durian belanda ini. Tetapi, buat masa ini, kami tidak tau di mana boleh kami dapatkan bekalan buah ini.





Kalau ada sesiapa yang ada maklumat di mana boleh kami mendapatkan bekalan buah ini, sudi-sudilah memberitahu kami ye

Usaha mesti diteruskan ..... kerana Esok Masih Ada....

Tuesday 16 November 2010

Selamat Hari Raya Eid ul Adha

Di kesempatan ini kami sekeluarga mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Eid ul Adha kepada semua pengunjung blog ini. Semoga semua amal ibadat kita diterima Allah SWT. Itulah impian kita semua.





Dan kepada semua yang sedang mengerjakan haji... doa kami semoga semua urusan dipermudahkan Allah dan  mendapat haji yang mabrur.




Jabbal Rahmah..... Adam dan Hawa bertemu semula setelah berpisah sekian lama



Dan yang mengerjakan ibadah korban, semoga semuanya berjalan lancar.


Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesera
Sejati dan mulia........

Sungguh dalam makna lirik lagu "Berkorban apa saja" ini. Memang .......

Kehidupan yang disukai Allah ialah hidup yang penuh dengan pengorbanan.

Bila kita redha berkorban apa saja.... tidak akan ada permusuhan, akan timbul kasih sayang yang kekal dan mulia disisi Allah.

Thursday 4 November 2010

PET Scan

Hari ini hari cuti umum kerana Deepavali. Aku ucapkan selamat berehat bersama keluarga tercinta.

Sempena hari Deepavali hari ini, aku titipkan gambar bunga dari taman ku.  Aku memilih bunga ini kerana kebetulan namanya

SONG OF INDIA!



4hb November, aku menemani Ayim pergi ke Hospital Putrajaya kerana temujanji untuk PET Scannya. Mulanya aku tertanya-tanya, kenapa kami diarahkan pergi ke Hospital Putrajaya tidak di Hospital Ampang? Bila sampai di Putrajaya barulah persoalan ku terjawab. Baru aku tau, hanya dua buah hospital kerajaan sahaja yang menyediakan khidmat untuk PET Scan di seluruh Malaysia. Lagi sebuah ialah Hospital Pulau Pinang. Jabatan yang mengendalikan PET Scan ini ialah Jabatan Nuklear! Dan, mereka hanya buka dua hari dalam satu minggu, iaitu hari Selasa dan hari Khamis sahaja. Hanya 10 orang pesakit untuk satu hari. Dan, Ayim dikenakan bayaran sebanyak RM500.


Hospital Putrajaya .... tersergam indah dan cantik




Ayim duduk termenung sementara menunggu gilirannya di 'pondok' yang di sediakan di luar Jabatan Nuklear ini



Pukul 2 petang barulah semuanya selesai. Doktor menasihatkan Ayim dikuarantin selama 24 jam. Keputusan PET Scan akan diketahui selepas dua minggu.

Sementara menunggu Ayim menjalani pemeriksaan, aku menggunakan masa yang terluang untuk beramah mesra dengan jururawat-jururawat yang bertugas di Jabatan ini. Kepala otak aku asyik memikirkan tentang bayaran yang dikenakan kepada pesakit...... RM500 aku rasa agak tinggi. Tidak dinafikan, kalau dibandingkan dengan hospital swasta, bayarannya memanglah jauh lebih murah. Tetapi swasta memang untuk mereka yang berkemampuan. Umumnya, hospital kerajaan untuk mereka yang 'kurang mampu'. Menurut jururawat yang sempat aku 'interview', semua pesakit dikenakan bayaran kecuali :

* kakitangan kerajaan

* ada 'guarantee letter' daripada majikan (yang bekerja dengan swasta)

* penuntut yang berumur di bawah 21 tahun

* penuntut tajaan JPA

 Penuntut Universiti yang berusia 21 tahun ke atas, boleh bawa surat dari Universiti (Universiti tempatan sahaja). Tetapi mesti bayar dahulu sebelum menerima rawatan. Kemudian baru 'claim' semula daripada universiti.

Kepala otak aku ini tidak mahu pulak berhenti berfikir .......

Kalau
Dah namanya penuntut, belum ada pendapatan. Hanya mengharapkan duit biasiswa atau pun pinjaman. Duit tak masuk lagi ..... macam mana?

Kalau
Macam dalam kes Ayim,  tidak ada biasiswa atau pun pinjaman, sudah melebihi 21 tahun, kedua orang tua sudah tidah bekerja lagi, tidak ada pencen, terpaksa membayar RM500 setiap kali rawatan .... macam mana?

Kalau
Ketua keluarga yang anggaran pendapatan RM2000 sebulan, isteri tidak bekerja, anak-anak bersekolah, tidak ada 'guarantee letter', dia terpaksa menjalani rawatan ini,..... macam mana?

Kalau
Orang kampung yang tidak mempunyai pendapatan tetap, terpaksa menjalani rawatan ini.... macam mana?

Ish ish ish.... banyak pulak aku ber'kalau'....sebab baru sebentar tadi aku mendengar lagu "Kalau Berkalau' dendangan Anita Sarawak kot!

Jururawat itu beritau aku, kalau tanpa bayaran, terpaksalah rawatan ditangguhkan. Kalau betul-betul tak mampu, boleh minta surat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini jugak sudah tentu mengambil masa untuk mendapatkan kelulusan. Kepala otak aku ni nak jugak terus berfikir lagi ... penyakit ini bukannya boleh ditangguh-tangguh. Kalau lewat, nyawa padahnya. Siapa nak bertanggung jawab? Hmm..... Amat menyentuh hati ku!

Nampaknya, yang 'bernasib baik' ialah penuntut tajaan JPA... tidak kisah kedua ibu bapa mampu ke tidak,  tetap mendapat 'keistimewaan' ini.

Aku teringat pengalaman ku semasa di Manchester dan Leeds. Semua kos rawatan Ayim adalah percuma kerana statusnya 'student'. Kenapa penuntut-penuntut kita yang menghidap penyakit merbahaya ini yang tidak mampu tidak dikecualikan pembayarannya? Sudah tentu tekanan mental amat berat bagi penuntut ini..... memikirkan pelajaran, kos rawatan dan menanggung sakit lagi!

Aku teringat pepatah Melayu kita.... hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Tetapi di dalam situasi begini, walaupun aku sayangkan negeriku, demi anak ku, aku rasa aku nak pilih hujan emas...........?? uh uh uh......

Kalau Anda semua berada di tempat aku.... bagaimana?

Seperti kata Raja Lawak, Nabil..... Lu fikirlah sendiri!!!

Assalammualaikum