text

"Live life, life is mega, even when it hurts...."- Ayim
Showing posts with label Kemoterapi. Show all posts
Showing posts with label Kemoterapi. Show all posts

Friday, 20 July 2012

Ahlan Wa Sahlan Ramadhan Al-Kareem


Kami sekeluarga mengucapkan Selamat Menyambut bulan Ramadhan yang mulia dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua yang menziarahi blog ini yang sentiasa mendoakan kesejahteraan keluarga kami. Kami amat menghargainya ........ Syukran Jazilan.


Kita sama-sama berdoa semoga kita semua sentiasa dirahmati Allah SWT...... Amin

 

Sempena menyambut bulan yang mulia ini, aku ingin berkongsi kata-kata hikmah di bawah ini. 
Kita sama-sama saling ingat mengingati.

 







Semoga kita semua tidak termasuk di dalam gulungan anak yang durhaka

Dan berita gembira bagi keluarga kami, bulan Julai ini juga genap 2 tahun Ayim menerima rawatan kemoterapinya.  Alhamdulillah.... dia semakin sihat, Dan aku, masih memantau dietnya setiap hari.

Hingga jumpa lagi.....

Monday, 12 July 2010

Online, International & Global

Pada 6hb Julai, kami berdua bertolak dari Manchester ke Leeds. Pukul 3.30 petang Ayim ada temu-janji dengan doktor pakar dan besok sesi kemoterapinya yang terakhir, iaitu yang ke enam.

Oleh kerana kami hanya ada wang tunai sebanyak £30 sahaja, sebelum pergi ke hospital, kami telah pergi ke bank dahulu yang terletak berdekatan dengan Universiti Leeds. Bank ini adalah sebuah bank yang ibu pejabatnya di London. Dan, ada pulak cawangan di Seremban. Jadi, aku telah membuka akaun bersama (Joint Account) dengan Ayim sebelum dia berangkat ke Leeds. Tujuannya supaya senang dia hendak mengeluarkan duit bila diperlukan.

Semasa hendak membuka akaun di Seremban, kami telah bertanya secara terperinci dengan pegawai berkenaan samada perlu ke tidak Ayim membuka akaun di cawangan mereka di Leeds. Mereka kata tidak perlu kerana bank mereka ini  "Online, International & Global". Apabila sudah membuka akaun di Seremban, dengan kad ATM sudah memadai untuk mengeluarkan duit di mana sahaja ATM yang ada logo "PLUS". Wow... canggihnya....Aku pun berasa sangat yakin dan senang hati.

Sekarang tiba masanya kami memerlukan wang. Kami pun pergi ke cawangan ini. Bila memasukkan nombor PIN, mesin itu terus 'tendang' dengan msg "Sorry... extra digits entered". Memang kami tahu, di Malaysia nombor PIN ada 6 digit, di UK 4 digit sahaja. Bila kami meminta pertolongan pegawai bank itu, dia kata dia tak boleh buat apa-apa sebab dia cawangan kecil, kami kena pergi ke ibu pejabat dia di tengah bandar Leeds..... Parkrow Road. Oleh kerana kami kesuntukan masa sebab temu-janji Ayim pukul 3.30, maka besoknya sahaja aku ke sana. Kebetulan kami terjumpa kawan Ayim, dia meminjamkan kami £50 dahulu.... kalau terjadi apa-apa masalah... katanya. (macam dia tau je)

Besoknya, pukul 9 pagi aku sudah sedia berada di bank ini (nasib baik aku sudah tau serba sedikit selok-belok di bandar Leeds ini). Suami ku pula menunggu di cawangan Seremban (Msia pukul 4.00 ptg.)  Apabila aku pergi ke kaunter, cashier tu dengan selamba berkata dia tak boleh berbuat apa-apa kerana aku tidak ada akaun di UK. "I cant do anything....there is nothing showing on my screen!"  Suami ku di Seremban meminta pertolongan bos di Seremban bercakap dengan bos di Leeds (telefon kami yang bayar... sabar je!) .... mereka pun tidak boleh buat apa-apa kerana aku dan Ayim telah mencuba lebih 3 kali, jadi kad ATM kami sudah di 'bar'!

Memang aku bengang dibuatnya. Yang aku tidak boleh terima mereka mengaku "Online, International & Global" tetapi masalah kecil ini pun dia orang tak boleh nak selesai. Aku dulu pernah jugak bekerja selama 16 tahun dengan syarikat "Online, International & Global", aku punya fahaman, bila online... tekan butang "enter", kami boleh mendapat maklumat semua cawangan kami di serata dunia. Itu 20 tahun dulu... jadi aku pelik apa maksud bank ini yang "Online, International & Global"???

Aku jugak heran, sebelum ini takkan tak ada pelanggan mereka yang mengalami masalah macam aku? Takkan aku pelanggan yang pertama. Atau pun, memang ada komplen, tapi di kira 'isolated case'.... tutup mata.  Dan, demi pelanggan, bos-bos di kedua-dua cawangan tidak pulak berusaha untuk menyelesaikan masalah aku ini. Semasa aku bekerja dulu, kami akan buat apa saja untuk memuaskan hati pelanggan ....."customer is always right".

Dan kami gunakan kad ATM itu di cawangan mereka dan di depan pegawai mereka... bukannya ada penipuan. Sekurang-kurangnya release kanlah bar di kad kami itu supaya kami boleh mencuba lagi di tempat lain ke.. apa-apalah... bagi idea ke macam mana kami boleh mengeluarkan duit kami.....ini tidak....senang hati je kata tak boleh.....NOKTAH!

Nasib baik aku pinjam duit kawan Ayim itu... kalau tidak memang kami tidak cukup wang tunai selama 3 hari berada di Leeds. Aku terfikir, kalau aku ada 1 juta (contoh je) dalam akaun di Malaysia pun tak guna, aku tak boleh buat apa-apa di sini untuk mengeluarkannya. Apa guna 1 juta?

Kesilapan besar aku ialah meletakkan kepercayaan yang teramat tinggi terhadap kewibawaan bank yang "online, international & global" ini. Sepatutnya, sebelum duit tinggal £30, aku sudah mencuba kad ATM itu. Bila aku sampai di Malaysia nanti, salah satu misi utama yang aku nak selesaikan ialah menutup akaun ini dengan serta merta! (Aku taulah dia orang tak heran pun aku tutup akaun... aku hanyalah melukut di tepi gantang)

Kebetulan petang itu hujan turun sekejap. Bila hujan berhenti, dari tingkap bilik, aku ternampak pelangi muncul di langit. Sudah lama aku tidak melihat pelangi. Pelangi itu telah berjaya menyejukkan hati ku yang sedang panas ini ....... lebih-lebih lagi bila teringat lagu Pelangi Petang dendangan Allahyarham Sudirman..... terus teringat Malaysia dan orang-orang yang aku sayangi dan aku rindui!!!



Alhamdulillah..... selesailah enam sesi kemoterapi Ayim. Seperti biasa, tiada masalah.... hanya pening dan rasa nak muntah dan hilang selera makan. Pada 14hb nanti, ujian CT Scan akan dibuat sekali lagi untuk memastikan yang tumor itu sudah seratus peratus lenyap.



Oleh kerana ini kali terakhir kami menginap di hotel ini, aku telah membeli sekeping kad dan sehelai scarf yang tak seberapa harganya kerana ketika ini aku tidak mampu nak membelikan sesuatu yang lebih berharga untuk Janet.




It's OK Janet... I will send you something better from Malaysia.... it is a promise!


Besoknya, sebelum pulang ke Manchester, seperti biasa, aku mesti nak mengambil gambar bunga di laman hospital ini. Bermula dengan daffodil, di ikuti tulip, dan sekarang ini giliran bunga mawar pulak berkembangan dengan saiz yang besar-besar dengan berbagai warna..... sungguh mempersonakan.  










Setelah membayar tambang teksi. sampai di rumah, aku hanya ada £20 di dalam dompet duit ku.....aku terasa 'pokai' sekali dan berhutang pulak £50!!!

DUGAAN.............

Sunday, 20 June 2010

Kemoterapi ke lima

15hb June, kami bertolak dari Manchester ke Leeds, menuju Hospital St. James. Pukul 2.45, Ayim ada temu-janji dengan doktor pakar, Dr. Johnson. Dan besok, sesi kemoterapinya yang ke lima.



Sebuah poster yang terdapat di lobi. Hotel penginapan kami di bangunan sebelah kiri, tkt 8


Selesai mengambil darah, kami pun dipanggil masuk untuk berbincang. Salah satu topik yang aku amat 'teruja', ialah untuk mendapat kebenaran secepatnya Ayim boleh travel. Aku sedang 'menghitung hari' untuk pulang ke Malaysia. Kemoterapi terakhirnya dijadualkan pada 7hb Julai, insyaallah. Aku sudah berangan, paling lewat 20hb bolehlah kami 'terbang' pulang.

Rupa-rupanya bukan begitu. Dr. Johnson memberitahu, tidak ada saorang doktor pun akan rela melepaskan pesakitnya naik kapalterbang sesudah habis kemoterapi. Paling cepat, katanya setelah 2 bulan! Aku kira-kira.... September .... menyambut raya di UK??? Hmmmm .....Aku pulak yang nak terpengsan! Aku nak balik sorang dulu pun tak boleh. Dia kata Ayim tidak boleh balik sendiri... apa-apa pun boleh berlaku di dalam kapal terbang. Dia mesti berteman.

Aku memberitahu dia yang aku tak boleh tinggal lebih daripada 6 bulan. 31hb Julai adalah hari terakhir aku boleh berpijak di bumi UK. Dia dengan senang hati memberitahu itu tidak ada masalah. Dia akan membuat surat untuk Pejabat Imigresen untuk membolehkan aku tinggal lebih lama atas sebab kesihatan. Hmmm.... aku kehabisan modal untuk berhujah dengannya!

Akhirnya dia bersetuju membenarkan paling cepat minggu pertama bulan Ogos. Itu pun tak pasti jugak.... tengok keadaan Ayim pada masa itu. Masalah lagi satu ialah tiket aku. Setakat ini, sudah 2 kali aku tunda tarikh balik ke Malaysia. Setiap kali tukar tarikh, ada penaltinya.

Besoknya, 16hb, pukul 9.30 pagi, Ayim menjalani sesi kemoterapinya yang ke lima. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.... tiada masalah. Seperti biasa, hanya rasa pening dan nak muntah.


Ubat pertama

Semasa Ayim menjalani kemoterapinya, aku keluar ke bandar. Keluar masuk kedai..... mencuci mata. Bagusnya bandar Leeds ini, semua kedai-kedainya terkumpul di satu tempat. Tidak payah nak mencari sesuatu barang, semuanya berdekatan. Dari kedai macam Globe Silk Store atau pun Kamdar sehinggalah kedai yang berjenama .......sebut je jenama apa, semua ada. Semua yang berjenama ini berada di bawah satu bumbung, di beberapa Arcade. Aku seronok menikmati keindahan senibina bangunan-bangunan di sini. Mereka mengekalkan bangunan lama dan diberi wajah baru yang mempersonakan.

Di dalam arcade inilah biasanya aku duduk berehat, di tepi air pancut, menenangkan fikiran, sambil menjeling-jeling kat handbag Mulberry tu dan mengintai-intai handbag LV yang dalam sangkar emas tu (jeling & intai je!)














Besoknya, kami menaiki bas bertolak balik ke Manchester. Seperti biasa, Ayim akan memegang beberapa helai beg plastik, 'standby' kalau dia termuntah di dalam bas. Tetapi, setakat ini, alhamdulillah, belum lagi terjadi.

Kali ini, aku tidak dapat merakamkan pemandangan-pemandangan sepanjang perjalanan pulang kerana aku tertidor. Bila terjaga, kami sudah sampai di stesen bas di Manchester, dan teksi-teksi yang menceriakan ini sudah sedia menunggu kami.




Sunday, 30 May 2010

Berakhirnya satu penantian


Jambangan bunga di pintu masuk hospital.


Pada 25hb Mei, pukul 2.00 petang, kami sudah berada di Hospital St. James, Leeds. Kami sampai setengah jam awal. Temu-janji untuk berjumpa doktor pakar pukul 2.30 petang. Sementara menunggu dipanggil masuk, Ayim membaca buku "Coping with Hair Loss" yang diberi percuma oleh MacMillan Cancer Support UK. Di dalam buku ini, terdapat banyak tip-tip yang bagus dan nasihat untuk pesakit-pesakit kanser, seperti penjagaan kulit kepala, memakai topi, rambut palsu atau skaf yang sesuai, shampoo apa yang boleh digunakan dan macam-macam lagi.




Tepat pukul 2.30, kami dipanggil masuk. Dengan senyum manis doktor itu mempersilakan kami duduk.

Dr. Thomas : "I have good news for you".

Kami terpinga-pinga.....

Ayim : "Good news?"

Dr. Thomas : "Yes.... your CT Scan result is with me.... and it is very very encouraging. Marvellous. The chemoterapy is working very effectively for you and the tumor in your abdomen is now shrinking tremendously."

Ayim : "Shrinking Doctor? How much ........ 70%?" Ayim tak sabar.... excited.

Dr. Thomas (Masih tersenyum) : "more"

Ayim : "80%?"

Dr. Thomas : "more than that........."

Mama : "90%?"

Dr. Thomas : "Yes....around that!"

Kami berdua berpandangan.... rasa macam mimpi .... tidak percaya. Ya Allah.... inilah saat yang kami tunggu-tunggu semenjak Ayim mula membuat kemoterapi tiga bulan dulu. Berakhirnya satu penantian dengan senyuman ...... syukur.... alhamdulillah

Ayim : "Doctor, can we see the image of the CT Scan?"

Dr. Thomas terus menunjukkan kepada kami imej masa mula-mula dulu, di mana "diameter" tumor itu lebih kurang 8cm... menghimpit kedua-dua ureter Ayim, dan imej sekarang.
Di tempat asal tumor itu memang macam sudah tak ada apa-apa. Yang ada hanyalah bekasnya.
Tetapi, buah pinggang yang sebelah kiri kecil sedikit berbanding dengan yang sebelah kanan. Ini disebabkan terlalu lama terhimpit oleh tumor itu. Walaupun kecil tetapi masih berfungsi. Menurut doktor itu lagi, itu tidak perlu dirisaukan. Lama kelamaan nanti, buah pinggang kiri itu akan kembali seperti normal.... insyaallah.

Lepas itu, dia memberi satu lagi berita gembira. Oleh kerana tumor itu sudah mengecut, tiub beg plastik kencing yang Ayim terpaksa bawak kemana sahaja, sudah tidak diperlukan lagi. Sudah boleh ditanggalkan.... alhamdulillah. Dr. Thomas akan berbincang dengan doktor yang bertanggung jawab dan pihak hospital akan memberitahu kami tarikh sesuai bila boleh dilakukan.

Aku tak sudah sudah mengucapkan syukur di dalam hati. Terasa seperti bulan jatuh ke riba! Penantian kami berakhir dengan berita gembira.

Sebelum kami datang ke hospital tadi, kami telah terlebih dahulu pergi ke Universiti kerana Ayim telah berjanji untuk berjumpa dengan kawannya untuk mengambil surat-surat Ayim yang banyak di dalam simpanannya.

Pemandangan di hadapan bangunan utama Universiti Leeds

Kebetulan hari itu adalah hari terakhir peperiksaan semester kedua mereka. Ayim nampak macam 'terkilan' kerana tidak dapat mengambil peperiksaan bersama-sama kawan-kawannya.
Sebaliknya, dia sedang 'bergelut' untuk menghabiskan kemoterapinya.

Kuasa Tuhan..... tidak sampai 3 jam Ayim berasa terkilan kerana tidak dapat menghabiskan pelajarannya, Tuhan telah mengurniakan sesuatu yang lebih berharga di dalam hidupnya .... kesihatan! Kesihatan yang tidak boleh di jual beli. Nampak jelas sekarang, Tuhan melorongkan Ayim datang ke UK, yang utama ialah untuk berubat.... dah sihat barulah sambung belajar! Subhanallah.....

Ini baru lepas sesi yang ketiga, 10 peratus sahaja lagi yang tinggal. Ada tiga sesi lagi, aku sudah mula berangan..... selepas enam sesi, mestilah Ayim boleh pulih sepenuhnya!

Ya Allah...... makbulkan doa ku ini. Biarlah angan ku ini menjadi kenyataan.
Bukannya tinggal angan-angan dan kenangan sahaja......

Ya Allah..... kami mohon rahmat Mu




Selesai pertemuan itu, kami terus naik ke tingkat lapan untuk berehat di bilik yang telah di sediakan. Janet telah sedia menanti dengan senyum lebar. Katanya, dia telah menyediakan bilik yang lebih istimewa untuk kami. Macam dia tau aje yang hati kami ini sedang berbunga-bunga kegembiraan yang tidak terkata.

Dia pun menunjukkan bilik kami.... wow... aku terkejut! Memang istimewa... luas dan amat selesa. Aku tak tau kenapa dia nak beri kami bilik yang luas ini.....hmmmm.... aku tak mau tau... ini semua anugerah Tuhan.



Malamnya, Ayim terus menunaikan sembahyang syukur tanpa bertangguh-tangguh lagi.

Besoknya, pukul 9.30 pagi, Ayim menjalani sesi keempat kemoterapinya tanpa masalah. Kami telah tidor dua malam di hotel itu.


Hari Kamis pagi, kami bertolak balik ke Manchester dengan menaiki bas National Express.
Di sepanjang perjalanan, seperti kebiasaan, aku mengambil gambar-gambar pemandangan.



Yang putih-putih di tengah padang itu ialah kambing biri-biri



Stesen bas National Express di Manchester Central

Sampai di Manchester Central, kami menaiki teksi untuk balik ke rumah. Ada teksi berwarna hitam, kuning dan biru. Aku memilih yang biru.




GOD GIVES YOU WHAT YOU REALLY NEED, NOT WHAT YOU REALLY WANT
(Tuhan memberi apa yang kita betul-betul perlu, bukan apa yang kita betul-betul mau)
Itulah yang terjadi pada kami.....Allah lebih mengetahui

Friday, 7 May 2010

Kenangan Abadi

4hb Mei...... genap tiga bulan aku 'bermastautin' buat sementara di bumi UK ini. Dari musim sejuk dah bertukar ke musim bunga. Memang cantik.... tetapi kehijauan bumi Malaysia jugak yang aku rindui!!! Dan mungkin aku terpaksa meneruskan kehidupan di sini untuk tempoh sekurang-kurangnya dua bulan lagi..... sehingga Ayim habis 6 sesi kemoterapinya.



Pada hari itu, aku dan Ayim telah bertolak dari Manchester dengan menaiki bas National Express ke Leeds kerana pukul 3 petang Ayim ada temu-janji berjumpa dengan doktor pakar di Hospital St. James.

Besok nya, 5hb Mei adalah sesi ketiga kemoterapinya. Kami telah tidor dua malam di bilik hotel yang telah disediakan.

Sepanjang perjalanan selama lebih kurang 1.5 jam, aku sempat merakamkan pemandangan yang mendamaikan minda sempena musim bunga di UK.




Ayim berposing di luar pintu masuk ke klinik pesakit luar untuk sesi kemoterapinya. Imej sesi ketiga....... memakai topi!!


Pemandangan di kaunter pertanyaan dan di bilik menunggu


Pukul 3 petang (5hb Mei), Ayim tersenyum lega setelah selesai sesi ketiga tanpa masalah. Dia hanya merasa pening, sakit kepala dan tidak ada selera makan.


Dan, sempena Hari Ibu, aku teringatkan ibuku yang baru 100 hari meninggalkan kami. Di antara 23 orang cucu-cucunya, Ayim berada di tempat teratas yang bertahta dihatinya. Bukan kerana pilih kasih tetapi kerana penderitaan Ayim.

Dia tidak mengizinkan Ayim pergi ke luar negara kerana tidak sanggup berpisah dengannya. Dia kata nanti apabila dia mati, Ayim tak dapat nak mengiringi jenazahnya ke kubur dan tidak dapat mendoakannya semasa jenazahnya dikebumikan. Ayim memujuknya dengan mengatakan dia pergi tak lama..... hanya satu tahun. Nanti tahun depan dia balik lah.... Dia hanya diam tanda tidak bersetuju.

Di KLIA, pelukan dan ciuman terakhir Ayim dengan Uwan tersayang


Pada 15hb Januari 2010, genap 4 bulan Ayim pergi, ibu ku telah menyahut panggilan Ilahi.

Walaupun Ayim tidak dapat bersama mengiringi jenazah Uwannya ke kubur, tetapi dia dengan kakaknya telah dapat bersama bertahlil untuk arwah selama tiga malam dengan menggunakan "skype".

Sepuluh hari sebelum dia meninggal, kami anak-menantunya, cucu-cicitnya telah berkumpul di rumahku kerana menyambut ulang tahun ibu yang ke 89 tahun. Hari ulang tahunnya ialah pada 5hb Januari. Ibu memang telah tinggal bersama kami selama lebih kurang 15 tahun. Meriah sekali... kami dapat berkumpul bersama dan kegembiraan terserlah diwajahnya.

Kami 6 beradik dengan ibu tersayang... gambar terakhir kami bersamanya sebelum dia pergi buat selama-lamanya.




Dan, bunga raya biru/ungu di atas adalah kenangan abadi ku yang terakhir bersama ibu.

Ibu ku memang suka berkebun dan meminati semua jenis bunga. Dua hari sebelum dia meninggal, aku telah menunjukkan bunga ini kepadanya. Bunga raya biru/ungu ini memang susah nak berbunga. Kebetulan di waktu itu, bunganya telah keluar beberapa kuntum. Dia sungguh gembira sekali... dia kata selama hidupnya, dia belum pernah melihat bunga raya berwarna biru/ungu.

Aku bersyukur, kami berkongsi hobi yang sama dan aku telah dapat menghiburkannya hingga ke saat akhirnya.

Kami doakan semoga ibu lebih berbahgia di sana.......... Alfatihah

Friday, 16 April 2010

Perikemanusiaan yang tiada sempadan

Rezeki Allah sangat luas..dan berada di mana-mana. Begitu jugak dengan penyakit... boleh datang dan pergi bila-bila masa. Semuanya ketentuan Allah....kenapa kita yang dipilih... itu jugak hanya DIA yang tahu...

Beberapa hari yang lalu, Ayim telah menerima sepucuk surat daripada Mcmillan Cancer Support Centre, UK. Bila dibuka... di dalamnya didapati sekeping cek bernilai £280. Wow.... tak sangka tiba-tiba rezeki datang menggolek. Mungkin kerana Ayim seorang student, tidak ada pendapatan maka dia orang memberi sumbangan ini untuk meringankan beban kewangan kami walaupun kami bukan warga negara mereka. Tiada pilih kasih. Ini hanyalah jangkaan aku saja. Alhamdulillah.

Pada 13hb April, pukul 10 pagi, aku dan Ayim telah bertolak dari Manchester dengan menaiki bas menuju ke Leeds. Sampai di Leeds, kami menaiki teksi ke Universiti kerana Ayim ada urusan yang perlu diselesaikan dengan pihak Universiti. Kemudian, barulah kami pergi ke Hospital St. James, kerana pukul 3 petang, Ayim ada appointment untuk mengambil darah dan besoknya 14hb, adalah sesi kedua kemoterapinya.




Sekarang ini musim bunga. Sudah tentu, bila berkesempatan aku tidak melepaskan peluang mengambil gambar- gambar bunga yang sedang mengembang cantik..... terapi untuk ku jua!!!






Di Hospital St. James ini, di tingkat atas sekali, iaitu tingkat 8, ada disediakan hotel untuk kemudahan pesakit-pesakit yang memerlukan penginapan. Kami telah menempah 1 bilik untuk 2 malam. Kami dimaklumkan harganya ialah £25 untuk satu malam. Bila kami check-in, kami diberitahu yang kami tidak dikenakan bayaran apa-apa, semuanya percuma!!! Alhamdulillah di atas rezeki ini. Yang lebih menakjubkan, penyambut tetamu itu berasa hairan kerana kami hanya menempah bilik untuk single bed tidak twin bed, sedangkan kami datang berdua.





Yang sebenarnya, kami pun tak tahu yang mereka ada menyediakan twin bed! Dia cukup risau macam mana aku nak tidur sedangkan katil hanya satu. Dengan berjenaka sambil pura pura marah dgn Ayim dia berkata "How can you let your mum sleep on the floor for 2 nights?" Dia terus menawarkan satu bilik lagi untuk aku (percuma jugak!), tetapi jauh daripada bilik Ayim, yang berdekatan semuanya sudah penuh. Aku tolak sebab jika Ayim memerlukan aku di waktu malam susah pulak. Dia masih tidak berpuashati, lantas di angkatnya sebiji tilam dan diletakkannya bersebelahan katil Ayim!! Hmmm... takkan ku lupa, insan yang baik hati ini, Janet namanya.




Di dalam hati aku tak lupa mengucapkan syukur dengan bantuan yang dihulurkan kapada kami. Dan aku tidak boleh lalai.....semua ini datangnya daripada Allah. Memang pada zahirnya, Mat
Saleh-Mat Saleh ini yang prihatin menghulurkan bantuan kapada kami. Tetapi sebenarnya, mereka hanyalah sebagai 'orang perantaraan'. Semuanya adalah peraturan Allah. Allah yang menggerakkan hati mereka supaya memberikan bantuan. Kalau Allah tidak gerakkan, semuanya tidak akan terjadi.

14hb April, pukul 10 pagi, sesi kedua kemoterapi Ayim bermula dengan suntikan Rituximab - ubat yang paling kuat berbanding 4 jenis ubat yang lain. Pada sesi pertama dulu ubat ini tidak diberi kerana keadaan buah pinggang Ayim yang masih tidak stabil. Semalam Doktor Pakar telah memberi penerangan, iaitu di antara tindak balas ubat ini ialah demam, badan menggigil atau menggeletar, pening, loya rasa nak muntah atau pun memang akan muntah. Jururawat pun ada memberitahu Ayim, sekiranya tangan aku terkena air kencing Ayim, aku pun boleh mendapat tindak balas yang serupa. Ini kerana Ayim masih menggunakan beg plastik kencing yang diikat di kakinya yang terpaksa dibawanya kemana jua dia pergi. Ini sehinggalah buah pinggangnya boleh berfungsi semula seperti biasa dan 'stent' yang dimasukkan dulu dikeluarkan.




Pukul 6 petang barulah selesai. Alhamdulilah, Ayim hanya berasa pening, letih dan hilang selera makan.

Ayim, tersenyum lega selepas selesai kemo... tidak menggigil atau menggeletar.

Setakat hari ini, iaitu hari ketiga, Ayim tidak mengalami apa2 komplikasi yang membimbangkan. Dia hanya rasa letih, pening dan tidak ada selera makan. Semoga dia akan terus boleh bertahan....