text

"Live life, life is mega, even when it hurts...."- Ayim

Friday 31 December 2010

Selamat Tinggal 2010


Selamat tinggal 2010.... selamat datang 2011.


Tirai 2010 ditutup dengan pemergian 'rakan seperjuangan' kami, Dr. Mas Afzal (empunya blog Not The Primrose Path). Walaupun kami tidak pernah berjumpa, tetapi anak muda ini amat dekat di hati kami sekeluarga kerana keluarga beliau dengan keluarga kami ibarat berada 'di dalam satu kapal'..... dilambung  ombak dan gelombang yang sama. 

Aku amat terasa dengan pemergiannya, kerana ada beberapa persamaannya dengan Ayim.  Kedua-duanya menghidap penyakit yang sama, umur hampir sebaya dan kedua-duanya gigih berjuang melawan penyakit masing-masing. Semoga rohnya dicucuri Rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.... Amin.

 Selain Dr. Mas Afzal, sepanjang tahun 2010, kami juga kehilangan dua lagi orang yang kami sayangi, iaitu, ibu dan adik ipar ku. Adik ipar ku menghidap barah payudara, mempunyai semangat juang yang tinggi, tetapi akhirnya tewas juga.

Tetapi ada juga yang berjaya melepasi ujian ini. Dua minggu lepas, aku telah diperkenalkan dengan seorang ibu, Puan Sofia Yasmin, yang pernah disahkan oleh doktor menghidap Non-Hodgkin's Lymphoma tahap 4 pada tahun 2008. Alhamdulillah, hari ini dia hidup sihat dan telah disahkan bebas dari penyakit ini. Bertemu dengannya, seperti pembakar semangat kepada kami yang masih berjuang...... ada cahaya di hujung sana.... insyaallah.

Peristiwa-peristiwa ini mengingatkan aku kepada pesanan Imam Ghazali:


Yang dekat itu mati,
Yang jauh itu masa,
Yang besar itu nafsu,
Yang berat itu amanah,
Yang indah itu solat.



Aku juga ingin terus mengingati diri ku dengan kata-kata ini:





Untuk meneruskan perjuangan pada tahun 2011 ini, 'keluarga sihat' adalah di antara agenda yang akan aku fokuskan. Selain terus berriadah di S2 City Park, aku juga ingin menjadikan Rumah kami Syurga kami Sekeluarga dengan tamannya yang mendamaikan pemikiran ........... mungkin seperti gambar ini





 (Gambar2 di atas kiriman dari seorang sahabat yg amat prihatin tentang kesihatan Ayim. Taman ini di sebuah rumah di Kanada.... TQ Maz)

Aku suka laman di penuhi bunga-bunga berwarna-warni seperti di atas ....... sungguh ceria tetapi itu konsep taman Inggeris. Taman Inggeris ini memerlukan perhatian lebih. Aku ni Melayu Minang...... kalau boleh aku hendak taman yang berkonsepkan ke Melayuan...... di penuhi dengan pokok-pokok yang tahan lasak dan tidak cerewet. Senang dijaga tetapi tetap cantik (ini idea aku je).  Aku tidak pernah menjalani sebarang kursus lanskap/berkebun, jadi terpaksalah melalui 'trial and error'.

 Tetapi kaum kerabat aku, tak suka taman yang dipenuhi dengan bunga-bunga seperti gambar di atas sebab penuh laman. Kata mereka kalau nak kenduri, tak ada tempat nak pasang khemah.  Dalam setahun berapa kali nak kenduri pasang khemah?  Hmmm...... tetapi, tanpa aku sedari, aku terpengaruh jugak. Tetapi, bukanlah menyediakan ruang itu untuk pasang khemah bila kenduri, tetapi untuk cucu-cucu ku yang semakin bertambah bilangannya bermain. Akhirnya, aku pun menanam pokok di tepi pagar ........jadilah seperti di bawah ini:





Sebenarnya aku hendak bentuk seperti gambar di bawah, tetapi tak ada skil untuk membuat 'topiari' dan aku pulak sudah tertanam salah pokok!

Huh.... amat jauh berbeza ..... macam langit dengan bumi!!



Tahun 2011, genap 10 tahun Ayim menghidap penyakit ini. Kami sekeluarga sudah terlalu lama menunggu saat Ayim diistiharkan bebas dari penyakitnya seperti Puan Sofia Yasmin. Semoga doa kami dimakbulkan Tuhan tahun ini  ..... insyaallah.




 Dan jam yang 'bertanduk' ini akan terus berdetik sehingga saat itu tiba .....



Aku doakan juga semoga tahun 2011 lebih baik daripada tahun 2010 untuk semua pengunjung blog ini.  Terima kasih juga di atas sokongan dan doa kalian.

Sunday 26 December 2010

Cuti-cuti Malaysia

Bulan Disember bulan bercuti? Hmmm...... kebiasaannya begitulah sebab cuti sekolah. Kami juga di dalam 'holiday mood'. Kami sekeluarga telah meluangkan masa untuk pergi bercuti.....

Ke Melaka




Melawat planetarium Melaka sempena expo NASA





Ke Pulau Pangkor








Van pengakutan dari jeti ke tempat penginapan


Di antara aktiviti semestinya mandi laut


Melawat Kota Belanda


Kucing pun nak posing


Rumah kraf tangan




Menaikki bot menuju ke Coral Island


Ceritanya.....batu yang menyerupai ikan paus



Batu yang menyerupai kepala buaya tersadai di pantai


Pantai Coral Island


Inilah sebahagian keluarga kami ....... mengandungi tiga generasi yang berkesempatan bercuti bersama. Semoga tahun hadapan, di pulau lain pula, lebih ramai lagi akan dapat hadir bersama demi mengiratkan silatulrahim







Luv U all

Jumpa lagi di tahun hadapan ...... insyaallah

Thursday 16 December 2010

The Rising Son

Di bawah ini ialah gambar saorang budak lelaki berbaju merah sedang menaikki basikal. Tidak ada apa yang istimewa tentang gambar ini. Tetapi, kalaulah basikal itu boleh bersuara, ia akan menjerit kegembiraan kerana setelah 6 tahun 'tuan'nya tidak memperdulikannya, biarkan dia tersadai di tepi dinding rumah, tiba-tiba pada pagi 6hb Disember 2010, 'tuan'nya mengilapnya bersih dan menunggangnya keliling taman perumahan tempat dia tinggal.



Ha... ha... itulah Ayim. Hari ini dia sudah mampu mengayuh basikal semula!



Setelah 2 hari ber'exercise' dengan mengayuh basikal, pada 8hb, kami pergi ke S2 City Park pulak untuk menghirup udara bersih dan berjogging.






Pemandangan yang nyaman di S2 City Park.... hanya  5 minit dari rumah kami











Ayim..... berjogging dan bersenam






 Tiga kali seminggu, Isnin, Rabu dan Jumaat, bermula pukul 7 hingga 8 pagi, kami berdua mengikuti kumpulan Qi Gong/Tai Chi ini jugak



Gambar di bawah ini amat bermakna buat ku.  Gambar ini aku framekan pada tahun 2005 sebagai inspirasi selepas dia 'bangun semula' setelah terbaring selama satu tahun setengah, dan aku gantung di dalam biliknya




Hari ini, sepatutnynya dia berada di Leeds menghadiri majlis konvokesyen MScnya. Tetapi kami tidak terkilan, malah kami amat bersyukur kerana 'kebangkitannya' lebih bermakna dari segala-galanya.  Doa kami semoga dia akan terus 'bangkit' menjalani hidup selesa seperti orang lain.

Sunday 5 December 2010

Mencari dan terus mencari

Di dalam perjalanan balik ke kampung, sebelum pekan Rantau, aku telah berhenti di sebuah gerai buah di tepi jalan. Kebetulan ada sebiji durian belanda. Wah .... bukan main seronok lagi walaupun hanya ada sebiji sahaja.







Buahnya taklah 'cantik' sangat tapi aku tetap bersyukur. Harganya RM5.50 sebiji.... tak boleh kurang. Apek jual buah tu kata....."Itu hari ada satu pompuan Melayu datang angkat semua.... dia kata ini buah boleh ubat itu sakit kanser." Hmmm.... patutlah harga buah ini terus melambung!!

Kita orang Melayu memang terkenal sebagai bangsa yang mengenang budi. Aku agak terkilan kenapa nenek moyang kita menamakan buah ini "Durian Belanda." Aku rasa tak ada pun budi orang Belanda kapada kita. Asal buah ni pun bukan dari negeri Belanda tapi dari Amerika Selatan. Tak pasal-pasal je Belanda dapat nama! Kenapa tak diberi nama durian Minang ke atau pun durian Jawa ke..... atau pun durian Bendahara... ha......paling hampir bunyinya dengan Belanda! Kalau mengikut pepatah Melayu ..."seperti Belanda diberi tanah" .... saolah-olah nenek moyang kita bencikan orang Belanda. Aku jugak ada perasaan 'anti' dengan Belanda ini.

Dari zaman kanak-kanak, aku sudah didedahkan oleh arwah ibu ku akan peristiwa Natrah. Dan, bila ada kesempatan aku memang mengikuti perjalanan hidup sedihnya sehinggalah dia meninggal dunia. Minggu lepas, sementara Ayim 'sihat',  kami telah berkesempatan menonton teater "Natrah" di Istana Budaya. Kisah percintaan yang amat tragis.... Belanda dengan angkuhnya berjaya memurtadkan saorang wanita Islam tanpa rela.





Aku 'perasan' berposing dengan Mansor Adabi (Remy Ishak) dan Natrah (Maya Karin)


Dalam pencarian durian Belanda ini, kami jugak telah menuju ke arah selatan. Di salah sebuah R & R yang kami singgah, ada sebuah gerai yang menjual jus durian belanda. Daripada posternya, nampak sungguh 'exotic' sekali. Aku pun teruja nak memberi Ayim merasa jus durian belanda buat kali pertama.  Nasib baiklah aku ini suka 'menyibuk'. Aku 'interview' salah seorang pekerja di gerai itu....di mana mereka mendapatkan bekalan buah ini. Dia dengan ramah mesra memberitahu ada seorang pembekal Melayu yang menghantar ke kedai itu. Tetapi bosnya pulak enggan memberi aku nama dan alamat pembekal itu. Pekerja itu memberitahu lagi, semuanya sudah siap diproses dan disimpan di dalam bekas plastik dan dibekukan. Bila diperlukan, mereka hanya perlu  menambah air sahaja dan hidang. Dia pun menunjukkan kepada aku bekas plastik itu.

Aku beristighfar beberapa kali apabila aku tengok bekas plastik itu. Memang Tuhan mahu menyelamatkan Ayim. Di dalam bekas itu sudah siap dibancuh dengan gula! Pesakit kanser mana boleh makan gula! Gula adalah musuh nombor satu. Kalau aku beri Ayim, memang akan memudaratkan. Tuhan memberi aku petunjuk supaya aku memberi Ayim buah segar. Kalau nak minum jus jugak, mestilah diproses sendiri di rumah.

Pencarian diteruskan.... 2hb Disember, kami telah pergi melawat MAHA. Alhamdulillah.... memang ada buah yang dicari-cari. Penjual itu beritahu dia mendapat bekalan dari Bidor. Tetapi semuanya masih muda lagi... belum boleh dimakan. Harganya RM6.00 satu kilo. Aku pun membeli 3 kilo dan sebatang anak pokok untuk ditanam.





Bermacam-macam jenis buah dan sayuran disusun indah.... sungguh mempersonakan




Bermacam jenis okid dipamerkan





Anak pokok durian belanda


Menurut penjual pokok durian belanda ini, paling cepat pokok berbuah ialah 3 tahun. Hmmmm..... sementara pokok ini berbuah, kami akan mencari dan terus mencari