text

"Live life, life is mega, even when it hurts...."- Ayim

Wednesday 23 November 2011

Saje je

Sekarang kita berada di dalam bulan Zulhijjah.... bulan yang mulia yang penuh barakah.


Bulan..... himpunan hamba-hamba yang terpilih mendapat kad jemputan menjadi tetamu Allah


 

Kepada semua Haji dan Hajjah yang sudah selamat menunaikan ibadah haji.... syukur alhamdulillah



Bulan...... kita semua menyambut Hari Raya Aidil Adha




Bulan..... kita semua berkesempatan melakukan ibadah qurban






Juga..... bulan pasangan-pasangan melangsungkan perkahwinan

Kami sekeluarga juga telah menghadiri majlis perkahwinan anak rakan karib di Johor Bahru.


Kali pertama melihat kek pengantin dibuat daripada cup cakes


 

Ayim teruja nak ambil gambar disisi kereta pengantin yang antik ini ....
Kerana platnya..... AK..... Abdul Karim!! Hmmmmm.... Nanti bila Ayim nak kahwin mama kena cari semula kereta ni.... untuk digunakkan sebagai kereta pengantin!


Sekarang ini, sudah 7 bulan Ayim bekerja.... sudah 'confirm'. Yang paling menggembirakan hati mama, ialah, selama 7 bulan ini belum ada sekali pun Ayim mengambil cuti sakit..... walaupun kerja teruk...... syif 12 jam.  Ini adalah satu perkembangan yang amat positif.



Kami sekeluarga juga menerima kad undangan perkahwinan daripada Cik La... yang tidak jemu mengikuti kisah Ayim di blog ini dan juga ber'message' dengan mama dalam facebook.  Kami belum pernah berjumpa tetapi tetap sudi menjemput kami di hari bahgianya.  Terima kasih Cik La dan pasangan.... mama doakan semoga Cik La bahgia sehingga ke anak cucu. Insyaallah.... kalau tidak ada aral melintang, kami akan hadir.











Hingga jumpa lagi....



Wednesday 28 September 2011

Syawal dan beribu-ribu budak hitam

Hari ini 30 Syawal...... sebulan sudah beraya sakan. Rumah terbuka sana sini demi mengiratkan silatulrahim. Pagi tadi pun aku masih menghadiri jemputan rumah terbuka. Kerana terlalu sibuk hinggakan aku tidak berkesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.

Kepada pembaca blog ini.... kami sekeluarga mohon maaf ye... walaupun Syawal sudah di penghujung.



Malam Syawal yang syahdu


 
Aisyah bermain bunga api di malam raya



Chocolate chips anti cancer untuk Ayim



Semalam aku dan suami telah pergi ke pejabat P.T.P.T.N untuk 'memutihkan' nama Ayim. Setelah membuat rayuan, pihak P.T.P.T.N. telah bersetuju untuk mengurangkan jumlah yang perlu dibayar. Kalau pada awalnya, mereka meminta RM7,000 ataupun RM350 sebulan, tetapi akhirnya mereka 'sudi' bertolak ansur dengan bayaran RM4,000 dan RM100 sebulan selama setahun, tahun kedua RM200 dan tahun ketiga RM300 sehinggalah langsai jumlah pinjaman.


Terima kasihlah P.T.P.T.N. Setelah membayar RM4100, mulai hari ini.... nama Ayim sudah 'putih' semula. Tidaklah seperti "sepuluh budak hitam"!

 
Alhamdulillah..... kami mampu mengadakan RM4,000. Bagi ibu bapa yang tidak mampu.... tidak tau berapa lamalah agaknya anak mereka termasuk gulungan "sepuluh budak hitam"!

Adakah gulungan generasi yang baru menerima ijazah ini dan yang baru nak 'memulakan hidup', selepas 6 bulan habis belajar masih tidak mendapat kerja ..... akhirnya akan termasuk di dalam kumpulan "sepuluh budak hitam" ini? 

Yang pasti.... bukannya "sepuluh budak hitam" tetapi "beribu-ribu budak hitam....."   



Kepada mereka-mereka yang nama mereka masih disenaraihitam..... yang betul-betul tidak mampu nak membayar..... aku doakan semoga mendapat pertolongan Allah S.W.T dan dipermudahkan segala urusan ........ Amin

Friday 19 August 2011

Alahai P.T.P.T.N.

Kita masih di dalam bulan Ramadhan. Belum terlambat untuk aku mengucapkan selamat menjalankan ibadah puasa untuk semua. Semoga kita menjadi umat yang lebih bertaqwa....... Amin


Tiga minggu lepas aku telah menemani Ayim pergi ke pejabat PTPTN. Tujuan kami ialah untuk berbincang tentang pembayaran balik pinjaman yang telah diberi. Kami tidak mau dinobatkan seperti "kacang lupakan kulit". Ialah.... Ayim pun sudah mula bekerja.

Ayim habis pengajian pada tahun 2007. Oleh kerana dia sakit dan selepas itu sambung belajar, kami tidaklah pernah memberitahu PTPTN yang Ayim masih tidak bekerja.

Ayim telah siap membawa segala surat menyurat yang kami rasa perlu untuk membuktikan kepada PTPTN yang kami ini bukanlah sengaja 'lari' tak mau membayar.

Apabila Ayim berjumpa pegawai yang bertugas di kaunter, kami diberitahu yang nama Ayim sudah disenaraihitamkan dan bila-bila masa sahaja notis saman akan dikeluarkan! Kalau Ayim hendak 'memutihkan' namanya semula, dia mesti membayar RM7 ribu lebih atau pun boleh membayar secara ansuran... iaitu sebanyak RM350 sebulan selama 21 bulan. Selepas 21 bulan barulah nama Ayim 'bersih' dan menyambung bayaran seterusnya. Ayim cuba menerangkan yang baru sembuh daripada sakit dan baru sahaja bekerja tetapi pegawai itu langsung tidak mau tengok surat-surat doktor dan surat dari majikan yang menunjukkan Ayim baharu sahaja 2 bulan mula bekerja.

Aku amat kecewa.  Aku memang tidak puashati dengan sikap pegawai itu.

Seminggu selepas itu, bila Ayim 'off', aku ajak Ayim pergi semula. Kali ini aku nekad... kami mesti berjumpa dengan pegawai atasan pula. Kami hanya ingin meminta jasa baik PTPTN supaya nama Ayim tidak disenaraihitamkan dan kami akan memulakan ansuran bayaran bulanan serta merta.

Apabila kami sampai di sana, kami tidak dibenarkan berjumpa dengan pegawai atasan kerana semua pegawai yang bertugas di kaunter itu memangnya berpengalaman dan boleh menyelesaikan semua masalah.

OK... aku terima. Ayim pun berjumpa dengan pegawai lain pula. Dia memberitahu, sebenarnya saman sudah pun dikeluarkan May tahun lepas!  Adui..... Oleh kerana saman itu dihantar ke alamat lama kami, jadi kami tak tahu. Sebenarnya, semasa Ayim sakit dan memohon penangguhan belajar selama 3 semester, kami sudah memaklumkan kepada PTPTN akan alamat baru kami.

Pegawai yang kedua ini lebih 'perihatin'. Sekurang-kurangnya dia sudi mendengar penjelasan Ayim dan sedia memberi nasihat apakah tindakan yang terbaik yang patut diambil. Dia menyarankan supaya Ayim membuat surat rayuan. Dia berjanji pihak PTPTN akan memperoses selama 7 hari bekerja dan kami akan diberitahu apa-apa keputusannya.

Alahai PTPTN.......

Satu organisasi
Satu jabatan
Satu bos
Satu sistem

Tetapi dua jawapan yang berbeza

Pegawai pertama mengatakan saman akan dikeluarkan
Pegawai kedua pula memberitahu saman sudah dikeluarkan tahun lepas

Pegawai pertama bersikap sombong dan tidak boleh berunding langsung..... seolah-olah "ada aku kisah.... lantak kau le"

Pegawai kedua pula...... membantu memberi cadangan bagaimana nak menyelesaikan masalah. Sejuk jugak hati aku sikit.... kalau tidak selamanya aku akan beranggapan negatif terhadap P.T.P.T.N.

Tetapi, hari ini.... sudah masuk dua belas hari hari bekerja. Kami masih belum mendapat apa-apa berita daripada P.T.P.T.N.



Alahai P.T.P.T.N..... sesungguhnya penantian itu adalah satu penyiksaan!



Sabar ..... sabar..... sedang puasa ni ..... stay cool













Amin


Thursday 7 July 2011

Semalam di Bukit Tinggi

Alhamdulillah.... sudah dua bulan Ayim bekerja dan belum sekali pun dia mengambil cuti sakit.... ini satu pencapaian yang amat menggembirakan kami sekeluarga. Dan dia juga sudah lulus di dalam satu ujian yang amat penting.


Hari ini juga genap setahun selepas kemoterapi terakhirnya. Ini bermakna dia sudah melepasi tahun pertama yang kritikal. Syukur kami kepada Allah SWT.


Untuk meraikan kejayaan ini, kami sekeluarga telah pergi bercuti ..... satu destinasi yang dekat tetapi berada di negara Perancis.......! Ada 'castle', udara sejuk ala ala musim bunga dan bangunan-bangunan yang sememangnya ditiru habis seperti sebuah perkampungan di France, iaitu The Colmar Village di Alsace, France.

Ha ha..... itulah Colmar Tropicale Resort di Bukit Tinggi..... lebih kurang satu jam je perjalanan dari Kuala Lumpur.


Kami sampai sudah malam.... air pancut ini menyambut kedatangan kami




 Dah malam pun masih sempat nak bermain dengan angsa


Ada pertunjukkan acrobatics.... tetapi kami tidak sempat nak tengok


 Suasana di waktu pagi yang memang nyaman dan menyegarkan


















Kereta kuda


Pakaian besi pahlawan perang orang Perancis di abad ke 16





Lanskap yang mempersonakan



Ayim sedang bersantai.....

Selama tiga minggu dia masuk syif pagi.... masuk pukul 7. Pukul 6 sudah keluar rumah. Dan aku bangun pukul 4 pagi untuk menyediakan bekalan makanannya. Begitulah rutin kami kalau dia bekerja syif pagi.


Selepas sarapan, kami pergi melawat Japanese Village. Melawat taman jepun ini memang agenda yang aku nanti-nantikan kerana taman jepun ini adalah yang terbesar yang berada di luar negara Jepun.  Hmmm .....mestilah hebatkan.





 Memang luas.... sebuah lanskap yang memang cantik









Ini model rumah Jepun.... kalau nak masuk dikenakan bayaran RM20


Selain Japanese Village dan padang golf, terdapat jugak mini zoo

Aisyah Nur Jasmin & Ainaa Arissa terpesona melihat seekor burung merak sedang mengembangkan ekornya....

Ada beberapa species arnab terdapat di sini


Gambar pertama N3 ini air pancut, aku sudahi dengan air pancut jugak



Percutian singkat di hujung minggu yang amat menyeronokkan dan berbaloi. Aku perasan macam baru balik dari France pulak.....

Semoga anda semua terhibur......... Hingga jumpa lagi




Friday 3 June 2011

Selamat Hari Jadi.... Ayim



3hb Jun 2011..... genap umur Ayim 29 tahun.



Ayim.... ketika berumur 6 bulan


Gambar favouritenya - Menyambut hari jadi yang pertama.... merenung kek nbr 1
(di dalam hati mungkin berkata.... "besarnya kek.... boleh ke habis aku makan ni??)



ketika berumur 2 tahun


ketika berumur 6 tahun




Permata hati ku.... anugerah Tuhan yang paling berharga di dalam hidup ku
Semoga mereka sentiasa bersatu dan sayang menyayangi di dalam apa jua keadaan
Susah senang diharungi bersama


Ayim anak lelaki tunggal di dalam keluarga. Dialah harapan kami untuk memikul tanggungjawab yang berat bagi memastikan 'keselamatan' kakak-kakaknya dan juga adiknya apabila kami sudah tiada.





Dan dia juga adalah cucu lelaki sulung sebelah keluarga papanya. Secara otomatisnya dia juga adalah 'abang sulung' kepada 28 orang sepupu-sepupunya. Semoga Ayim berjaya memikul tanggung jawab sebagai 'ketua keluarga' apabila kami semua telah kembali. 


SELAMAT HARI JADI AYIM. 
  semoga sentiasa di rahmati Allah di dunia dan akhirat

Kami semua sayang kamu