text

"Live life, life is mega, even when it hurts...."- Ayim

Sunday 30 May 2010

Berakhirnya satu penantian


Jambangan bunga di pintu masuk hospital.


Pada 25hb Mei, pukul 2.00 petang, kami sudah berada di Hospital St. James, Leeds. Kami sampai setengah jam awal. Temu-janji untuk berjumpa doktor pakar pukul 2.30 petang. Sementara menunggu dipanggil masuk, Ayim membaca buku "Coping with Hair Loss" yang diberi percuma oleh MacMillan Cancer Support UK. Di dalam buku ini, terdapat banyak tip-tip yang bagus dan nasihat untuk pesakit-pesakit kanser, seperti penjagaan kulit kepala, memakai topi, rambut palsu atau skaf yang sesuai, shampoo apa yang boleh digunakan dan macam-macam lagi.




Tepat pukul 2.30, kami dipanggil masuk. Dengan senyum manis doktor itu mempersilakan kami duduk.

Dr. Thomas : "I have good news for you".

Kami terpinga-pinga.....

Ayim : "Good news?"

Dr. Thomas : "Yes.... your CT Scan result is with me.... and it is very very encouraging. Marvellous. The chemoterapy is working very effectively for you and the tumor in your abdomen is now shrinking tremendously."

Ayim : "Shrinking Doctor? How much ........ 70%?" Ayim tak sabar.... excited.

Dr. Thomas (Masih tersenyum) : "more"

Ayim : "80%?"

Dr. Thomas : "more than that........."

Mama : "90%?"

Dr. Thomas : "Yes....around that!"

Kami berdua berpandangan.... rasa macam mimpi .... tidak percaya. Ya Allah.... inilah saat yang kami tunggu-tunggu semenjak Ayim mula membuat kemoterapi tiga bulan dulu. Berakhirnya satu penantian dengan senyuman ...... syukur.... alhamdulillah

Ayim : "Doctor, can we see the image of the CT Scan?"

Dr. Thomas terus menunjukkan kepada kami imej masa mula-mula dulu, di mana "diameter" tumor itu lebih kurang 8cm... menghimpit kedua-dua ureter Ayim, dan imej sekarang.
Di tempat asal tumor itu memang macam sudah tak ada apa-apa. Yang ada hanyalah bekasnya.
Tetapi, buah pinggang yang sebelah kiri kecil sedikit berbanding dengan yang sebelah kanan. Ini disebabkan terlalu lama terhimpit oleh tumor itu. Walaupun kecil tetapi masih berfungsi. Menurut doktor itu lagi, itu tidak perlu dirisaukan. Lama kelamaan nanti, buah pinggang kiri itu akan kembali seperti normal.... insyaallah.

Lepas itu, dia memberi satu lagi berita gembira. Oleh kerana tumor itu sudah mengecut, tiub beg plastik kencing yang Ayim terpaksa bawak kemana sahaja, sudah tidak diperlukan lagi. Sudah boleh ditanggalkan.... alhamdulillah. Dr. Thomas akan berbincang dengan doktor yang bertanggung jawab dan pihak hospital akan memberitahu kami tarikh sesuai bila boleh dilakukan.

Aku tak sudah sudah mengucapkan syukur di dalam hati. Terasa seperti bulan jatuh ke riba! Penantian kami berakhir dengan berita gembira.

Sebelum kami datang ke hospital tadi, kami telah terlebih dahulu pergi ke Universiti kerana Ayim telah berjanji untuk berjumpa dengan kawannya untuk mengambil surat-surat Ayim yang banyak di dalam simpanannya.

Pemandangan di hadapan bangunan utama Universiti Leeds

Kebetulan hari itu adalah hari terakhir peperiksaan semester kedua mereka. Ayim nampak macam 'terkilan' kerana tidak dapat mengambil peperiksaan bersama-sama kawan-kawannya.
Sebaliknya, dia sedang 'bergelut' untuk menghabiskan kemoterapinya.

Kuasa Tuhan..... tidak sampai 3 jam Ayim berasa terkilan kerana tidak dapat menghabiskan pelajarannya, Tuhan telah mengurniakan sesuatu yang lebih berharga di dalam hidupnya .... kesihatan! Kesihatan yang tidak boleh di jual beli. Nampak jelas sekarang, Tuhan melorongkan Ayim datang ke UK, yang utama ialah untuk berubat.... dah sihat barulah sambung belajar! Subhanallah.....

Ini baru lepas sesi yang ketiga, 10 peratus sahaja lagi yang tinggal. Ada tiga sesi lagi, aku sudah mula berangan..... selepas enam sesi, mestilah Ayim boleh pulih sepenuhnya!

Ya Allah...... makbulkan doa ku ini. Biarlah angan ku ini menjadi kenyataan.
Bukannya tinggal angan-angan dan kenangan sahaja......

Ya Allah..... kami mohon rahmat Mu




Selesai pertemuan itu, kami terus naik ke tingkat lapan untuk berehat di bilik yang telah di sediakan. Janet telah sedia menanti dengan senyum lebar. Katanya, dia telah menyediakan bilik yang lebih istimewa untuk kami. Macam dia tau aje yang hati kami ini sedang berbunga-bunga kegembiraan yang tidak terkata.

Dia pun menunjukkan bilik kami.... wow... aku terkejut! Memang istimewa... luas dan amat selesa. Aku tak tau kenapa dia nak beri kami bilik yang luas ini.....hmmmm.... aku tak mau tau... ini semua anugerah Tuhan.



Malamnya, Ayim terus menunaikan sembahyang syukur tanpa bertangguh-tangguh lagi.

Besoknya, pukul 9.30 pagi, Ayim menjalani sesi keempat kemoterapinya tanpa masalah. Kami telah tidor dua malam di hotel itu.


Hari Kamis pagi, kami bertolak balik ke Manchester dengan menaiki bas National Express.
Di sepanjang perjalanan, seperti kebiasaan, aku mengambil gambar-gambar pemandangan.



Yang putih-putih di tengah padang itu ialah kambing biri-biri



Stesen bas National Express di Manchester Central

Sampai di Manchester Central, kami menaiki teksi untuk balik ke rumah. Ada teksi berwarna hitam, kuning dan biru. Aku memilih yang biru.




GOD GIVES YOU WHAT YOU REALLY NEED, NOT WHAT YOU REALLY WANT
(Tuhan memberi apa yang kita betul-betul perlu, bukan apa yang kita betul-betul mau)
Itulah yang terjadi pada kami.....Allah lebih mengetahui

Sunday 23 May 2010

JJCM - Jalan2 Cuci Mata & Jalan2 Cari Makan

Coretan ku kali ini..... buat pertama kalinya adalah santai dan gembira.... sesuai dengan tajuknya jalan-jalan cuci mata dan jalan-jalan cari makan!

Alhamdulillah..... selepas lebih kurang 3 bulan usia blog ini dan ini coretan ku yang ke 15, barulah ada cahaya kegembiraan. Moga-moga kegembiraan ini berpanjangan. Aku yakin ini semua adalah dengan bantuan doa yang tidak putus-putus dari saudara-mara, kawan-kawan rapat dan kawan-kawan yang belum aku kenali yang sudi melawati blog ini. Terima kasih semua kerana mendoakan kesihatan Ayim .... hanya Tuhan yang akan membalasnya.

Hari Jumaat 19hb, Ayim ada "follow-up check-up" mengenai bisulnya itu di Manchester Royal Infirmary. Temu-janji pukul 2.30 petang, tetapi dia amat bersemangat nak keluar rumah pagi sebab dia nak jalan-jalan di bandar Manchester.

Kami keluar rumah pukul 10 pagi dengan menaiki bas ke Piccadilly Garden. Kawasan ini memanglah sentiasa sibuk kerana semuanya boleh di dapati di sini. Selain stesen bas dan keretapi, ia juga ada taman untuk berehat.




Mereka jugak perihatin dengan kehijauan.


Dua orang budak perempuan ini dengan rela hati menawarkan diri untuk menjadi 'model' Ayim bila dia tengok Ayim sibuk mengambil gambar.

Kami jalan-jalan hingga sampai ke Arndale, salah sebuah shopping kompleks yang terbesar di Manchester.

The Wheel of Manchester terletak di depan salah satu pintu masuk ke Arndale .




Ayim berposing di hadapan bangunan 'Triangle'... di belakangnya kelihatan The Wheel of Manchester

Pukul 12 tengahari, kami pergi ke Hard Rock Cafe kerana ada pesanan dari Malaysia .... mintak tolong belikan T-shirt Hard Rock Cafe Manchester.

Pemandangan di depan bangunan Hard Rock Cafe.... aku ambik gambar ini sebenarnya sebab nak ambik gambar teksi kuning tu!




Pemandangan di dalam kedai ....pelayan tu tersenyum bila aku mintak izin nak rakamkan muka dia yang hensem tu....

Selesai membeli T-shirt barulah kami pergi ke Manchester Royal Infirmary. Kami diarahkan supaya pergi ke Dental Department.....Maxillo Facial and Oral Surgery. Tidak sampai 10 minit pun Doktor tu check kesan bisul di atas bibir Ayim. Dia berpuashati... semuanya OK....Syukur


Lepas itu, perut pun sudah berkeroncong.... barulah kami pergi jalan-jalan cari makan. Tidak jauh dari kawasan hospital ini, adalah dereten kedai-kedai makanan halal. Kebanyakan restoren-restoren ini dipunyai oleh orang-orang Pakistan, Indian muslim dan Arab. Salah sebuah restoren ini, Jazera, memang terkenal di kalangan orang-orang Malaysia kerana keenakan juadahnya. Kami pun ingin mencuba.


Memang enak dan kami jugak berpuashati dengan harganya.

Kami jugak ternampak restoren yang bernama 'Abduls'. Ayim bukan main seronok lagi sebab di hospital, doktor-doktor dan jururawat-jururawat memanggilnya 'Abdul'!

Dia jugak 'excited' bila nampak sebuah restoren yang bernama 'Sangam'. Dia ambik gambar ni nak tunjuk papanya yang berminat dengan filem hindustan!


Di dalam perjalanan pulang, kami ternampak pula ada hari terbuka Royal Air Force.... dia orang sedang membuka peluang pekerjaan kapada sesiapa yang berminat hendak menjadi tentera udara.

Ayim sedang dilayan oleh salah saorang petugas yang berada di situ


Hmmm..... jam pun sudah pukul 6 petang. Kami pun menaiki teksi untuk pulang ke rumah. Kali ini aku mimilih teksi berwarna 'shocking pink'!

Thursday 20 May 2010

Sabar je

Alhamdulillah..... bisul di atas bibir Ayim sudah tidak sakit lagi dan beransur sembuh.

Pada 18hb Mei, aku dan Ayim telah menaiki bas National Express dari Manchester ke Leeds. Pukul 3 petang, Ayim ada temu-janji dengan doktor di Hospital St. James untuk pemeriksaan lanjut dengan membuat CT Scan.

Seperti biasa aku merakamkan pemandangan yang indah di sepanjang perjalananan ini.





Apabila sampai di hospital, Ayim terus masuk ke bilik Radiology untuk membuat CT Scan. Tujuan membuat CT Scan ini ialah untuk mengetahui keberkesanan proses kemoterapi yang telah dijalankan..... sama ada tumor itu sudah mengecut atau pun tidak.

Tiga jam sebelum prosidur ini bermula, Ayim tidak dibenarkan makan.


Lebih kurang pukul 5.30 petang, baru lah semuanya selesai..... hmmmm ... Ayim kelaparan. Makanan yang halal di kafeteria sudah habis yang ada hanya chips. Tetapi, pelayan di kafeteria tu baik hati, dia dengan senang hati buatkan roti bakar untuk Ayim.


Ayim tidak menoleh kiri kanan terus menjamah makanan.

Selepas makan, petang itu jugak kami pulang semula ke Manchester. Di musim bunga ini, pukul 8.30 malam masih lagi terang.

Di hadapan kawasan hospital

Keputusan CT Scan ini akan di hantar melalui pos. Mereka tidak pula memberitau berapa lama baru keputusan itu akan dikirimkan. Mungkin mengambil masa satu minggu. Walaupun satu minggu, kita yang menunggu memang terasa terlalu lama. Suspen ....suspen.... sabar je ..... Sesungguhnya penantian itu satu penyiksaan!!!

Sampai di Manchester, kami menaiki teksi untuk pulang ke rumah.

Aku amat 'teruja' melihat teksi-teksi di Manchester ni...... ceria dan berwarna-warni... sesuatu yang tidak di dapati di Malaysia..... jadi aku seronok merakamkan gambar-gambar ini.






Sunday 16 May 2010

Hanya Kerana 'Sebutir' Jerawat

Hanya kerana 'sebutir' jerawat, Ayim merana kesakitan selama satu minggu!

Sudah dua hari, ada jerawat (kecik je) tumbuh di atas bibir kanan Ayim. Pagi 11hb Mei, bila dia bangun tidor, bibirnya telah bengkak sedikit dan dia sudah mula berasa sakit tapi masih boleh bertahan. Nak makan memang lah susah. Tengahari, jerawat itu sudah bertukar menjadi bisul dan sakitnya sudah tidak terkata..... sudah berdenyut-denyut! Bengkak di bibirnya telah bertambah besar dengan cepat sekali dan telah menjangkit sehingga ke hidung dan pipinya. Mukanya sudah tidak ada rupa dia lagi!



Kebetulan, kami hanya tinggal berdua sahaja. Kakaknya sekeluarga pergi bercuti selama seminggu di Spain. Aku cuba menelefon jururawat yang biasa datang ke rumah tetapi tidak dapat di hubungi. Akhirnya, aku telah memanggil teksi dan terus membawanya ke klinik pesakit luar yang berdekatan.

Doktor di klinik itu tidak berani hendak memberi Ayim apa-apa ubat kerana tidak cukup peralatan dan takut akan lebih memudharatkan. Dia telah merujuk kami pergi ke Hope Hospital untuk mendapatkan rawatan yang lebih intensif. Di Hope Hospital, Doktor telah mengambil darah dan telah memasukkan air (drip). Daripada keputusan darah yang diambil, semuanya OK... hanya ada jangkitan kuman di mulutnya. Mungkin Ayim telah cuba memicit jerawatnya tanpa disedari! Doktor di hospital ini jugak tidak mahu mengambil risiko... dia terus menguruskan dokumentasi yang diperlukan supaya Ayim di masukkan ke Manchester Royal Infirmary (MRI) malam itu jugak kerana di sana ada doktor pakar dan peralatan yang mencukupi (jika terjadi apa-apa perkara yang tidak di ingini).


Pukul 8.30 malam, kami di hantar ke Manchester Royal Infirmary (MRI) dengan menaiki ambulan. Seumur hidup ku, inilah kali pertama aku menaiki ambulan ..... bukan di Malaysia tetapi di Manchester!




Di MRI, semua pemeriksaan dijalankan sekali lagi. Pukul 2 pagi barulah Ayim dimasukkan ke wad. Aku telah duduk menemani Ayim di hospital itu sehingga 5 pagi.


Pemandangan di hadapan kawasan hospital




Besoknya, bermulalah 'terapi' perjalanan ku naik bas turun bas sekali lagi. Dari rumah, aku menaiki bas ke Piccadilly Garden. Sebelum aku menaiki satu lagi bas ke MRI, aku sempat merakamkan pemandangan yang menenangkan pemikiran dan membuatkan aku terhibur.








Setelah tiga hari di wad, dia telah dibenarkan pulang ke rumah.


Semenjak Ayim datang ke UK lebih kurang lapan bulan yang lalu, Ayim asyik keluar masuk hospital. Setakat ini, sudah 5 hospital - dua di Leeds dan tiga di Manchester. Sepatutnya, di bulan Mei ini, dia sedang sibuk menghadapi peperiksaan semester keduanya...... tetapi takdirnya lain yang berlaku.

TAKDIR penentu segalanya.... tiada siapa pun mampu mengubahnya melainkan Allah jua....

Kami mohon keberkatan Mu.... Ya Allah.