text

"Live life, life is mega, even when it hurts...."- Ayim

Friday 7 May 2010

Kenangan Abadi

4hb Mei...... genap tiga bulan aku 'bermastautin' buat sementara di bumi UK ini. Dari musim sejuk dah bertukar ke musim bunga. Memang cantik.... tetapi kehijauan bumi Malaysia jugak yang aku rindui!!! Dan mungkin aku terpaksa meneruskan kehidupan di sini untuk tempoh sekurang-kurangnya dua bulan lagi..... sehingga Ayim habis 6 sesi kemoterapinya.



Pada hari itu, aku dan Ayim telah bertolak dari Manchester dengan menaiki bas National Express ke Leeds kerana pukul 3 petang Ayim ada temu-janji berjumpa dengan doktor pakar di Hospital St. James.

Besok nya, 5hb Mei adalah sesi ketiga kemoterapinya. Kami telah tidor dua malam di bilik hotel yang telah disediakan.

Sepanjang perjalanan selama lebih kurang 1.5 jam, aku sempat merakamkan pemandangan yang mendamaikan minda sempena musim bunga di UK.




Ayim berposing di luar pintu masuk ke klinik pesakit luar untuk sesi kemoterapinya. Imej sesi ketiga....... memakai topi!!


Pemandangan di kaunter pertanyaan dan di bilik menunggu


Pukul 3 petang (5hb Mei), Ayim tersenyum lega setelah selesai sesi ketiga tanpa masalah. Dia hanya merasa pening, sakit kepala dan tidak ada selera makan.


Dan, sempena Hari Ibu, aku teringatkan ibuku yang baru 100 hari meninggalkan kami. Di antara 23 orang cucu-cucunya, Ayim berada di tempat teratas yang bertahta dihatinya. Bukan kerana pilih kasih tetapi kerana penderitaan Ayim.

Dia tidak mengizinkan Ayim pergi ke luar negara kerana tidak sanggup berpisah dengannya. Dia kata nanti apabila dia mati, Ayim tak dapat nak mengiringi jenazahnya ke kubur dan tidak dapat mendoakannya semasa jenazahnya dikebumikan. Ayim memujuknya dengan mengatakan dia pergi tak lama..... hanya satu tahun. Nanti tahun depan dia balik lah.... Dia hanya diam tanda tidak bersetuju.

Di KLIA, pelukan dan ciuman terakhir Ayim dengan Uwan tersayang


Pada 15hb Januari 2010, genap 4 bulan Ayim pergi, ibu ku telah menyahut panggilan Ilahi.

Walaupun Ayim tidak dapat bersama mengiringi jenazah Uwannya ke kubur, tetapi dia dengan kakaknya telah dapat bersama bertahlil untuk arwah selama tiga malam dengan menggunakan "skype".

Sepuluh hari sebelum dia meninggal, kami anak-menantunya, cucu-cicitnya telah berkumpul di rumahku kerana menyambut ulang tahun ibu yang ke 89 tahun. Hari ulang tahunnya ialah pada 5hb Januari. Ibu memang telah tinggal bersama kami selama lebih kurang 15 tahun. Meriah sekali... kami dapat berkumpul bersama dan kegembiraan terserlah diwajahnya.

Kami 6 beradik dengan ibu tersayang... gambar terakhir kami bersamanya sebelum dia pergi buat selama-lamanya.




Dan, bunga raya biru/ungu di atas adalah kenangan abadi ku yang terakhir bersama ibu.

Ibu ku memang suka berkebun dan meminati semua jenis bunga. Dua hari sebelum dia meninggal, aku telah menunjukkan bunga ini kepadanya. Bunga raya biru/ungu ini memang susah nak berbunga. Kebetulan di waktu itu, bunganya telah keluar beberapa kuntum. Dia sungguh gembira sekali... dia kata selama hidupnya, dia belum pernah melihat bunga raya berwarna biru/ungu.

Aku bersyukur, kami berkongsi hobi yang sama dan aku telah dapat menghiburkannya hingga ke saat akhirnya.

Kami doakan semoga ibu lebih berbahgia di sana.......... Alfatihah

2 comments:

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

Salam buat Ayim dan kakak sekeluarga,

Seronok dpt melihat negeri org kan.
Semoga warna warni bunga bererti keceriaan di hati akak juga. Berkenan sgt melihat bunga raya ungu biru tu. Saya pun gembira apatah lg arwah ibu akak. Al fatihah buatnya smg dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mrk yg beriman.

Akak bertuah dpt menjaga ibu hingga ke akhir hayatnya. Saya tidak berpeluang kerana ibu kandung yg melahirkan dan ibu saudara yg memelihara saya sejak lahir telah pergi begitu awal. Bakti saya cuma menghadiahkan ayat suci dan amal jariah serta menjadi anak yg baik insyallah.

Mama said...

Salam Yati....

Memang akak rasa bersyukur sangat dpt membela dia sehingga ke saat akhir. Dulu akak mmg tak minat langsung menanam bunga, tp kerana ibu tinggal bersama, tiap hari dia akan bercerita psl bunga, lama2 akak pun jd berminat sama.