text

"Live life, life is mega, even when it hurts...."- Ayim

Sunday, 1 May 2011

Memori kaki 'comel'

 Bilakah kali terakhir anda membeli kasut untuk diri anda sendiri?

Semalam?
Minggu lepas?
Bulan lepas?


Bagi kebanyakan orang, membeli kasut baru itu perkara biasa. Tetapi bagi Ayim, membeli kasut baru itu adalah satu nikmat yang tidak terkata.... kerana sudah 6 tahun dia tidak membeli kasut baru! Bukan dia tak teringin, tetapi kerana masalah kaki kanannya yang besar dari kaki kiri. Dia tidak boleh suka-suka pergi kedai, pilih jenama/design apa nak, beli dan pakai. Kasutnya terpaksa ditempah....dahlah mahal, tetapi dia masih merasa tidak selesa. ....  akhirnya langsung tidak dipakai. Dia terpaksa terus menggunakan kasut yang dah senget yang berusia 6 tahun itu!


Kasut yang banyak berjasa..... tidak ada jenama. Kasut senget ini jugak yang di pakai semasa di Leeds


Kalau pergi ke rumah orang, bila buka kasut, kalau tuan rumah itu tidak tahu cerita, ia memang memalukan. Kadang-kadang tu pula, ada air yang keluar dari lubang roma betis dia macam peluh..... boleh menitik jatuh atas karpet rumah orang.... memang tidak selesa.  Dan kalau pergi kenduri, dia tidak boleh duduk bersila. Kalau sembahyang di masjid, dia akan memilih baris yang paling belakang sekali.

Kaki kanannya yang besar itu memang amat ketara kerana dia memakai seluar. Kalau orang perempuan, boleh memakai kain.... dapatlah di sorokkan. Kemana saja dia pergi.... menjadi kebiasaan orang akan bertanya.... macam soalan wajib pulak.

"Bang, kenapa kaki kanan abang gelombong?"

"Eh... kenapa kaki kanan kau bengkak hah?"

"Nape dengan kaki kau tu..... sakit ke?"

"Dik..... kaki kanan tu besar.... accident ke?"

Bahkan, budak yang berumur 3 tahun, Ammar Hariz (anak saudara sendiri) pun pandai memberi komen: "Papayim's leg one big one small!"

Semua soalan cepu mas tu masih boleh dijawab dengan "penuh hemah."  Tetapi ada dua insiden yang kami tidak boleh lupa dan amat menyedihkan. Insiden pertama apabila satu hari dia telah pergi membeli barang di supermarket Giant. Apabila dia nak keluar, pengawal keselamatan yang bertugas telah menahannya dan terus membawanya masuk ke bilik Sekuriti untuk di soal siasat. Pengawal itu telah memaksanya mengangkat seluar. Dia menyangkakan Ayim telah mencuri barang dan menyorokkan di dalam seluarnya! Aduiiiii.......... rasa nak tercabut jantungku!

Insiden kedua apabila seorang hamba Allah ini, datang melawat Ayim semasa dia terbaring di hospital Leeds. Dia nak sangat tengok kaki Ayim yang 'comel' tu. Ayim memang tidak pernah tunjuk pada sesiapa pun selain daripada kami sekeluarga. Dia paksa jugak Ayim membuka selimut.  Setelah ditunjuk..... kami taulah memang dia terperanjat beruk tetapi dia cuba menunjukkan keperihatinannya dengan berkata: "Apa nak malu ...... sekurang-kurangnya kau ada kaki..... orang-orang di Afghanistan tu banyak yang kudung kaki tangan!!!" Eh elah...tak payahlah nak tunjuk kesian... kami tau... itu statement yang tidak ikhlas.

Kaki kanan itu terus membesar selepas pembedahan. Tetapi Ayim tidak merasa kaki itu berat. Dia boleh bergerak seperti biasa.... berjalan, membawa kereta, turun naik tangga.... semuanya tiada masalah. Setiap enam bulan sekali, dia terpaksa menempah 2 pasang seluar baru . Setokin pun dibeli dari kilang dan aku kena 'modify'.

Tetapi hari ini... syukur alhamudillah.... kaki itu sudah mula mengecil semula. Aku rasa sudah mengecut dalam 70%. Dia sudah boleh memakai kasut biasa.... tidak perlu menempah lagi. Beberapa hari lepas kami telah pergi shopping dan dia telah membeli sepasang kasut baru untuk dipakai pergi bekerja nanti. Dan dia telah menyuruh tukang jahitnya mengecikkan semula seluar-seluarnya.


Sebahagian daripada seluar-seluarnya yang telah di kecikkan semula (ha ha... ini baru separuh, ada banyak lagi!)


Ayim sudah bebas dari kanser.... syukur Alhamdulillah... tetapi kaki kanannya masih perlukan rawatan. Semasa kami berubat secara tradisional dulu, macam-macam pendapat dari pengamal perubatan tradisional ini. Salah satu sebab kaki itu membesar kata mereka ialah kerana 'terlangkah'. Ada yang mengatakan terkena sihir..... (ada orang nak sihir papanya, tetapi terkena kat Ayim!). Ada jugak memberitahu, Ayim dimarahi 'hantu laut' semasa berkayak di Laut Cina Selatan kerana terlanggar kawasan anak-anak dia orang bermain. Lagi satu 'versi' .....  Ayim telah masuk ke dalam hutan Endau-Rompin, telah mengambil sesuatu barang dari tempat itu dan tidak dipulangkan semula. Macam-macam lagi. Semua ini kami tidak pernah pertikaikan...... kami terima saja. Kami tidak kisah. Tujuan kami hendak berubat.....  kami hanya mahu Ayim sembuh.

 Tetapi, ada satu pendapat yang membuatkan aku bengang dan teramat marah. Kalau tidak berdosa membunuh orang, memang aku tidak fikir dua kali..... sudah lama orang-orang itu aku tembak dengan senapang gajah! Ada beberapa orang ini berpendapat Ayim mengidap penyakit kaki gajah (elephantiasis) dan tidak boleh diubati untuk selama-lamanya. Kaki itu akan terus membesar, membesar dan membesar sehingga satu ketika nanti dia tidak boleh berjalan lagi! Ini amat menggerunkan kami!

Tetapi.... hari ini, itu semua sudah menjadi satu memori..... satu pengalaman yang tiada nilainya..... Terima kasih Allah kerana amat menyayangi kami!


Aku masih di dalam mood tulip. Aku amat teruja apabila melihat album anak-anak yang berada di Leeds pergi bercuti melawat taman tulip ini. (T.kasih Zura memberi izin utk di 'copy').















Kalau taman ciptaan maanusia sebegini indah..... bagaimana agaknya taman di syurga ye??

Salam kasih sayang untuk semua

13 comments:

Ibu n Abah said...

kak zah...
ALHAMDULILLAH..
Syukur ALhamdulillah...

haZwAnIE said...

as'salam mama

syukur la ayim dah smkin smbuh....smga dia kuat...
smga mama brbahagia selalu...amin.

kamu..ye,kamu! said...

yeay!! ayim dh sihat..kagum ngn smgat dan ketabahan ayim..kalu baca updated mama ayim..msti sy rase sebak..blog ni mmg realiti yg sgt bermakna tok sy..sy doakan ayim sekeluarga..luv u ayim..

::..farhana..:: said...

salam...
Alhamdulillah...
kagum dgn ketabahan dan kesabaran yang dimiliki^_^

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

Assalam KZ,

Cantik sesangat bunga2 tulip tu, yg pasti tmn2 syurga akan lebih indah tak terbayangkan oleh kita.

Sekali lagi hati KZ pasti seceria dan seindah bunga2 tulip yg beraneka warna tu.

Cerita ayim sentiasa unik dan menyumbang pengalaman baru bagi saya yg membaca kisahnya. Kini ceritanya bagaikan sudah menghampiri episod akhir yang akan berkesudahan dengan happy ending.

Berharap sangat moga suatu hari ia dapat diceritakan semula melalui sebuah buku(maklum baru balik dari Pesta Buku KL). Kebetulan KZ nampaknya sangat berbakat dlm bidang penulisan. Apakata KZ mencuba dan berbincag dgn penerbit buku yg berminat. Insyallah, kena gayanya mungkin buku KZ boleh jadi best seller kan..

Semoga kaki ayim akan pulih sepenuhnya, amin.

FaAtip said...

lama tak singgah sini. :)

Fa pun jarang beli kasut. Beli kena yang berjenama sebabnya bukan nak ngada2 tapi keselesaan jadi ukuran. Dan selalunya yang agak mahal tu lah yang selesa di pakai. :)

Alhamdulillah gembira baca cerita ni...

Mama said...

Salam DM

T.kasih.. luv U


Salam HaZwAnIE

T. kasih....moga2 satu hari kita dpt berjumpa

Mama said...

Salam kamu..ye,kamu!

T.kasih.... luv U too


Salam perkenalan Farhana

T.kasih sudi singgah & tolong doakan

Mama said...

Salam Yati

Terlalu tinggi pujian Yati ni... ish..tak terfikir KZ nak jadikan buku.

Tetapi KZ setuju dgn pendapat Yati yg cerita ini sudah di episod akhir dengan happy ending...


Salam Fa

lama berehat dari blogging

KZ gembira Fa sudah kembali

Anonymous said...

Alhamdulillah.. mendung sudah berlalu perlahan2.. syukur.dan tahniah atas ketabahan puan sekeluarga..semoga ayim akan terus sembuh. amiin

-knoreza-

Mama said...

Salam perkenalan knoreza

T.kasih sudi singgah dan mendoakan keluarga kami

Anonymous said...

Alhamdulillah, berita yg dinanti2. Semoga Mama, Ayim & keluarga berbahagia.

mazni

Mama said...

Salam perkenalan Mazni

T.kasih sudi singgah dan t.kasih juga sudi mendoakan kebahgiaan kami sekeluarga.