text

"Live life, life is mega, even when it hurts...."- Ayim

Wednesday 28 April 2010

Sajian Tender Loving Care (2)

Sekarang ini, kalau pergi ke Supermarket untuk membeli barang makanan, mesti mengambil masa yang lama sedikit kerana nak membaca kandungan di label. Semenjak membaca buku mengenai diet anti-cancer ni, aku lebih berhati-hati tentang diet Ayim kerana aku tak mau memasak untuk memberi sel-sel kanser tu 'enjoy' menikmati masakan aku.!!!

Aku ingin berkongsi sedikit sebagai sambungan mengenai makanan anti-kanser yang baru aku jumpai. Sebenarnya makanan-makanan ini memang sudah lama berada di pasaran. Cuma aku saja tiada inisiatif untuk ambil tau sebab sudah 'selesa' dengan makanan yang sudah biasa. Lagipun dulu aku tidak cuba mengumpulkan maklumat sebegini. Yang lebih menggembirakan, makanan-makanan yang dicadangkan juga sesuai untuk mengelak penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis. Juga sesuai untuk orang yang mahu turunkan berat badan.

Sejenis marjerin brand "Bertolli" yang mengandungi Olive Oil


Tepung 'wholemeal self-raising flour' dan 'organic wholemeal spaghetti'


Selain pemakanan, penulis ini juga menyarankan supaya melakukan senaman seperti tai chi dan qi gong untuk penafasan. Dia juga mengesyorkan melakukan meditasi untuk 'kedamaian dalaman'. Selain dia mencadangkan yoga, aku 'terkedu' sekejap sebab dia juga menyarankan "berzikir" sebagai salah satu cara untuk orang Islam!!!

Setakat hari ini, alhamdulillah.... Ayim tidak ada mengalami apa-apa 'alahan' akibat kemoterapinya. Dan di sini, seminggu dua kali ada jururawat datang ke rumah untuk menukar plaster lukanya dan memastikan tidak ada apa-apa masalah.



Insyaallah... pada 5hb Mei adalah sesi kemoterapinya yang ketiga.

Wednesday 21 April 2010

Sajian Tender Loving Care

Alhamdulillah..... setakat hari ini setelah 8 hari kemoterapi keduanya, Ayim tidak mengalami apa-apa masalah. Yang menggembirakan kami, dia sudah mula berselera semula. Diet yang betul itu penting untuk semua orang bukan hanya bagi pesakit kanser. Dan bagi orang yang sakit, menjaga pemakanan itu samalah pentingnya dengan ketekunan memakan ubat. Diet yang berkesan adalah salah satu cara untuk melawan sel-sel kanser itu daripada berleluasa. Lagi satu cara yang disyorkan ialah dengan melakukan senaman. Insyaallah... dengan izinNya jua.

Ada beberapa rakan rapat saya dan saudara mara yang ingin tahu apa diet Ayim yang saya beri sekarang.


Kebetulan hari ini, untuk sarapan pagi....green tea , wajib setiap hari, roti multigrain, fruit juice (carrot, celery, blueberry, grapefruit dan sedikit madu). 2 keping oat-hazelnut cookies yang resipinya sudah di 'modify' dan dibuat sendiri (menggunakan bahan2 antikanser).

Makan tengah hari...nasi dari beras basmati, goreng sayur campur (brokoli, carrot, celery, mushroom, capsicum) yang digoreng dengan minyak Olive (zaitun) dan ditambah dengan white pepper/black pepper. Kari ayam yang semestinya dimasak dengan bawang, bawang putih, halia, kunyit dan rempah-rempah kari. Dan sebiji epal.


Untuk minum petang, semestinya kuih favorite Ayim, iaitu jemput-jemput pisang yang kami sudah 'modify'.... kami gunakan brown flour, unrefined brown sugar ditambah dengan bread crumbs daripada roti wholemeal, dan digoreng dengan menggunakan Olive oil...... hmmmm yummy yummy.....(jangan pandang pada rupa jemput2 tu... rasa mau).

Makan malam? hmmm ... belum fikir lagi..... mungkin sama dengan menu tengahari dan mungkin ditambah dengan telur goreng dadar (telur organik yang kaya omega 3) dicampur dengan capcicum dan pepper.

Dengan berpandukan dua buah buku seperti di bawah dan beberapa artikel lain, kami telah menukar diet kami sekeluarga setakat yang termampu. Sebenarnya kami tidak merasakan sukar untuk berubah kerana kebetulan semua makanan yang disyorkan adalah makanan kebiasaan kita hari-hari, hanya kerana kita ada banyak pilihan jadi kadang-kadang kita tersalah pilih.


Saya tidak pandai hendak menerangkan kenapa yang ini bagus untuk kanser yang itu tidak. Tetapi apa yang disyorkan oleh penulis ini tidak banyak beza dengan permakanan kita. Jadi senang je untuk kami ikut dan semuanya menjurus untuk membantutkan sel-sel kanser dari terus membiak dan berkembang.

Di antara jenis makanan yang kami tukar ialah......

Daripada beras putih kami tukar ke beras basmati (kurang kanji, indeks glisemik rendah) dan daripada minyak masak lain kepada Extra Virgin Olive Oil (kaya Omega 3 yang melawan kanser).



Daripada gula putih (refined cane sugar) kami menukar ke gula perang (unrefined cane sugar-indeks glisemik rendah dan lebih anti oksidan). Manisan terbaik sebenarnya yang asli seperti madu atau gula nira yang tidak diproses supaya kandungan serat dan antioksidan lebih tinggi. Tetapi apa-apa pun bagi pesakit kanser penggunaan gula mesti dikurangkan kerana sel kanser menggunakan gula sebagai punca tenaganya.


Sejenis lagi gula perang iaitu 'muscovado sugar'.


Daripada tepung putih kepada "brown flour". Buat cucur atau cekodok semua menggunakan 'brown flour' ini. Tiada beza pun rasanya, tapi khasiat lebih!


Daripada roti putih ke roti multigrain (atau boleh juga roti wholemeal). Roti multigrain ini lebih baik kerana ia bukan sahaja ada gandum, tetapi juga biji bunga matahari, sesame seed, linseed, poppy seed dan millet seed. Biji-bijian ini kaya Omega 3 dan vitamin B17.


Nampaknya semua yang 'putih' (roti putih, gula putih, tepung putih) adalah kesukaan sel-sel kanser....salah satu sebabnya ialah yang putih tinggi karbohidrat ringkas kerana terlalu banyak diproses. Bila kita makan ia akan cepat bertukar menjadi gula di mana gula adalah salah satu makanan yang mesti dielakkan oleh pesakit kanser.

Bawang putih, halia, kunyit, lada putih, lada hitam dan rempah-rempah yang lain semuanya adalah di dalam list yang teratas untuk melawan kanser. Dan di campur didalam masakan sayuran seperti cendawan, brokoli, carrot, celeri adalah hidangan 'wajib' setiap hari. Sayur-sayuran sebaik-baiknya adalah yang organik. Di sebabkan penulis ini Mat Saleh, jadi semua sayur-sayuran yang disyorkan adalah makanan harian mereka. Sayur-sayuran dan ulam-ulaman kita juga tak kalah zatnya jika dibandingkan seperti peria, ulam pegaga, petai, jering dan banyak lagi.





Ayim meminum Green Tea tanpa gula setiap hari kerana ia mampu melawan kanser secara langsung (itu sebab orang jepun kurang kes-kes kanser).


Makanan yang mengandungi 'omega 3' adalah digalakkan.


Dark chocolates yang melebihi 70% juga disyorkan dimakan setiap hari. Bukan kuantiti yang banyak. Jenama Kitkat pun ada yang menggunakan dark chocolate (65%), jadi tak adalah Ayim kempunan sangat, sebab dia memang suka makan coklat! Cuma coklat ni banyak gula, kalau sanggup makan yang pahit lebih baik.


Buah-buahan semestinya termasuk semua jenis berries....strawberries, raspberries, blackberries, blueberries. Dan buah-buahan citrus seperti oren, limau. Kalau di sini ada grapefruit atau pomelo, iaitu keluarga limau bali.


Sekali-sekala gabungkan kedua-duanya menjadi hidangan yang menyelerakan- strawberry in chocolate! (Dark chocolate yang dipanaskan dengan olive oil kemudian dicelup strawberry).


Dan, makanan segera dan makanan yang mengandungi MSG memang 'diharamkan' sama sekali. Bukan itu sahaja, bagi semua makanan yang diproses perlu diperiksa supaya tiada 'hydrogenated fats' yang menggalakkan pertumbuhan sel kanser. Lihat marjerin di bawah, kurang lemak tepu dan tiada 'hydrogenated fats'.


Air yang bersih juga penting. Di rumah kami di Malaysia, kami memang sudah lama memasang penapis air. Air yang mengandungi klorin yang tinggi kalau diminum setiap hari memang akan memudaratkan sesiapa saja. Ikan dalam akuarium pun kita letak anti klorin supaya dia tidak mati!!

Kalau kita berjaya mengikut diet yang disyorkan memang berasa amat puas hati dan berbaloi. Rasa macam betul-betul "I PUNCHED CANCER IN THE FACE!!!!"


Saya tidak bermaksud untuk mengiklankan produk-produk yang saya gunakan...saya malas nak buka pakejnya. Harap maklum.

Friday 16 April 2010

Perikemanusiaan yang tiada sempadan

Rezeki Allah sangat luas..dan berada di mana-mana. Begitu jugak dengan penyakit... boleh datang dan pergi bila-bila masa. Semuanya ketentuan Allah....kenapa kita yang dipilih... itu jugak hanya DIA yang tahu...

Beberapa hari yang lalu, Ayim telah menerima sepucuk surat daripada Mcmillan Cancer Support Centre, UK. Bila dibuka... di dalamnya didapati sekeping cek bernilai £280. Wow.... tak sangka tiba-tiba rezeki datang menggolek. Mungkin kerana Ayim seorang student, tidak ada pendapatan maka dia orang memberi sumbangan ini untuk meringankan beban kewangan kami walaupun kami bukan warga negara mereka. Tiada pilih kasih. Ini hanyalah jangkaan aku saja. Alhamdulillah.

Pada 13hb April, pukul 10 pagi, aku dan Ayim telah bertolak dari Manchester dengan menaiki bas menuju ke Leeds. Sampai di Leeds, kami menaiki teksi ke Universiti kerana Ayim ada urusan yang perlu diselesaikan dengan pihak Universiti. Kemudian, barulah kami pergi ke Hospital St. James, kerana pukul 3 petang, Ayim ada appointment untuk mengambil darah dan besoknya 14hb, adalah sesi kedua kemoterapinya.




Sekarang ini musim bunga. Sudah tentu, bila berkesempatan aku tidak melepaskan peluang mengambil gambar- gambar bunga yang sedang mengembang cantik..... terapi untuk ku jua!!!






Di Hospital St. James ini, di tingkat atas sekali, iaitu tingkat 8, ada disediakan hotel untuk kemudahan pesakit-pesakit yang memerlukan penginapan. Kami telah menempah 1 bilik untuk 2 malam. Kami dimaklumkan harganya ialah £25 untuk satu malam. Bila kami check-in, kami diberitahu yang kami tidak dikenakan bayaran apa-apa, semuanya percuma!!! Alhamdulillah di atas rezeki ini. Yang lebih menakjubkan, penyambut tetamu itu berasa hairan kerana kami hanya menempah bilik untuk single bed tidak twin bed, sedangkan kami datang berdua.





Yang sebenarnya, kami pun tak tahu yang mereka ada menyediakan twin bed! Dia cukup risau macam mana aku nak tidur sedangkan katil hanya satu. Dengan berjenaka sambil pura pura marah dgn Ayim dia berkata "How can you let your mum sleep on the floor for 2 nights?" Dia terus menawarkan satu bilik lagi untuk aku (percuma jugak!), tetapi jauh daripada bilik Ayim, yang berdekatan semuanya sudah penuh. Aku tolak sebab jika Ayim memerlukan aku di waktu malam susah pulak. Dia masih tidak berpuashati, lantas di angkatnya sebiji tilam dan diletakkannya bersebelahan katil Ayim!! Hmmm... takkan ku lupa, insan yang baik hati ini, Janet namanya.




Di dalam hati aku tak lupa mengucapkan syukur dengan bantuan yang dihulurkan kapada kami. Dan aku tidak boleh lalai.....semua ini datangnya daripada Allah. Memang pada zahirnya, Mat
Saleh-Mat Saleh ini yang prihatin menghulurkan bantuan kapada kami. Tetapi sebenarnya, mereka hanyalah sebagai 'orang perantaraan'. Semuanya adalah peraturan Allah. Allah yang menggerakkan hati mereka supaya memberikan bantuan. Kalau Allah tidak gerakkan, semuanya tidak akan terjadi.

14hb April, pukul 10 pagi, sesi kedua kemoterapi Ayim bermula dengan suntikan Rituximab - ubat yang paling kuat berbanding 4 jenis ubat yang lain. Pada sesi pertama dulu ubat ini tidak diberi kerana keadaan buah pinggang Ayim yang masih tidak stabil. Semalam Doktor Pakar telah memberi penerangan, iaitu di antara tindak balas ubat ini ialah demam, badan menggigil atau menggeletar, pening, loya rasa nak muntah atau pun memang akan muntah. Jururawat pun ada memberitahu Ayim, sekiranya tangan aku terkena air kencing Ayim, aku pun boleh mendapat tindak balas yang serupa. Ini kerana Ayim masih menggunakan beg plastik kencing yang diikat di kakinya yang terpaksa dibawanya kemana jua dia pergi. Ini sehinggalah buah pinggangnya boleh berfungsi semula seperti biasa dan 'stent' yang dimasukkan dulu dikeluarkan.




Pukul 6 petang barulah selesai. Alhamdulilah, Ayim hanya berasa pening, letih dan hilang selera makan.

Ayim, tersenyum lega selepas selesai kemo... tidak menggigil atau menggeletar.

Setakat hari ini, iaitu hari ketiga, Ayim tidak mengalami apa2 komplikasi yang membimbangkan. Dia hanya rasa letih, pening dan tidak ada selera makan. Semoga dia akan terus boleh bertahan....

Sunday 11 April 2010

Kemoterapi vs Spritual, Emotional & Mental Terapi

Ahad, 4hb April, malamnya Ayim tiba2 je demam ...panas sangat. Dia tak dapat tidur... dia pening dan rasa kedua2 belah kakinya macam nak tercabut. Dia mengerang sepanjang malam dan sesekali minta dipicit kaki dan kepalanya. Besoknya, dia telah kami masukkan ke hospital Christie di Manchester.

Hospital Christie

Alhamdulillah.....nasib baik tidak ada apa2 komplikasi. Cuma ada sedikit jangkitan bakteria. Dia telah disuntik dengan antibiotik. Selepas 3 hari, iaitu pada hari Rabu, dia telah dibenarkan pulang ke rumah. Sesi kedua kemoterapinya yang sepatutnya pada hari yang sama (Rabu 7hb) juga terpaksa ditangguhkan.

Oleh kerana rekod Ayim masih di Hospital St. James, Leeds, dan dia tidak ada masalah yang serius, di Christie Ayim hanya di tempatkan di wad biasa, di Medical Assessment Unit. Setiap cubicle ada 4 orang pesakit. 3 orang 'jiran' Ayim ni semuanya sudah tua... umur dalam lingkungan 60an ke 70an. Ketiga2nya masalah sakit tekak...yang seorang tu langsung sudah hilang suara. Ayim terdengar perbincangan Doktor/nurse - sakit tekak mereka ini semuanya akibat kesan sampingan selepas melalui radioterapi beberapa kali.


Yang aku sedih... Ayim baru je nak menjamah makanan yang aku bawa, jiran yang depan tu berkahak dan meludah sesuka hati! Jiran sebelah kiri pulak terkencing atas katil! Kita yang sihat pun boleh hilang selera makan kalau menghadapi keadaan macam ini..... nasib baik hanya 3 hari.

Di dalam keadaan yang stress sekarang ini.... aku pun perlu kuat dan mesti bertahan. Sebelum aku 'tumbang' ..... aku mesti cari 'terapi' untuk diri aku jugak - 'spiritually, emotionally & mentally'. 'Spiritually', bila umur sudah melebihi setengah abad, memang kita akan cuba mendekatkan diri dengan Allah....aku berusaha untuk menjadi kekasihNya. Insyaallah aku tidak akan jemu jemu untuk terus mendapatkan keberkatanNya.




Emotionally, perangai aku yang suka berdikari banyak membantu ketika ini. Semasa di Leeds, dari tempat aku tinggal, aku akan berjalan kaki setiap hari ke bandar Leeds. Tidak jauh, hanya 20 minit. Sambil berjalan aku akan menikmati keadaan di sekelilingku dan aku akan mengambil gambar mana2 pemandangan yang aku suka. Selepas tu, aku akan 'window shopping' sekejap, masuk kedai keluar kedai.... hanya untuk melupakan masalah buat seketika (escapism). Bila dah dekat waktu melawat, barulah aku naik bas pergi ke hospital.

Di Manchester pun, aku buat perkara yang sama. Aku belajar naik bas dari rumah anak di Salford ke Manchester city. Tukar bas di Picadally Garden barulah ke Christie Hospital. Bila berjaya, terasa keseronokannya. Dan aku sudah berulang kali pergi balik dari Manchester ke Leeds naik bas sorang diri..... rasa macam dari Seremban ke KL je!


Mentally, aku perlu sentiasa bersedia, memantapkan diri dengan ujian Allah yang datang menduga kekuatan iman kami sekeluarga. Kami tidak akan berputus asa kerana Allah membenci hambaNya yang berputus asa.... sedangkan di hadapan masih banyak jalan yang terbuka yang dia mahu kita terokai.

Kami sekeluarga akan terus mencari keredhaanNya tanpa jemu .......

Wednesday 7 April 2010

Wajah baru, azam baru & semangat baru

Selepas seminggu menjalani sesi pertama kemoterapinya, aku dan kakaknya mengambil keputusan untuk memujuk Ayim untuk membotakkan terus kepalanya. Tak payah nak tunggu rambut tu gugur sendiri sebab kami takut jika ini akan membuatkan dia sedih dan melemahkan semangatnya. Kebetulan dia bersetuju.... dan muncullah Ayim dengan wajah baru.... tak kurang hensemnya!!!!




Iye... aku amat bersyukur Tuhan menganugerahkan aku saorang anak lelaki yang tabah, sabar, dan kuat semangat. Aku amat yakin dia mempunyai ciri ciri seperti itu kerana aku terbaca di dalam notanya dalam facebook nukilan seperti di bawah:

God knows what’s best for us
So why should we complain
We always want the sunshine
But He knows there must be rain

We always want the laughter
And the merriment of cheer
But our hearts will lose their tenderness
If we never shed a tear.

God tests us often
With suffering and with sorrow
He tests us not to punish us
But to help us meet tomorrow

For growing trees are strengthened
If they withstand the storm
And the sharp cut of the chisel
Gave the marble grace and form

God tests us often
And for every pain He gives to us
Provided we’re patient
Is followed by rich again

So whenever we feel that everything is going wrong
It is just God’s way
To make our spirit’s strong

Memang... Ayim mengikuti ciri ciri yang ada pada papanya.... sabar, yakin, jujur dan ikhlas.
Dengan semangat juang yang tinggi, dan tidak pernah berputus asa ...insyaallah anak ku Ayim akan kembali sihat seperti sediakala....

Ya Allah Ya Tuhanku... makbulkan lah doa ku ini....amin ya rabbal 'alamin.